suria

PDRM Mohon Perintah Ekstradisi Kesan Majikan Suspek Pembunuhan Hussain Ahmad Najadi

KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan memohon perintah ekstradisi daripada polis Australia sekiranya majikan kepada suspek utama kes pembunuhan pengasas kumpulan perbankan Arab-Malaysian (Ambank) Hussain Ahmad Najadi enggan menyerah diri dalam minggu ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki tempatan yang juga ahli perniagaan berusia 53 tahun itu dipercayai meninggalkan negara tiga hari selepas kejadian pembunuhan itu.

"Walaupun suspek dipercayai tidak berada dalam negara tetapi dia tahu bahawa polis sedang memburunya manakala keluarga suspek dikesan masih berada di sekitar Lembah Klang," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Sementara itu, perintah reman ke atas suspek utama akan tamat Ahad ini dan kertas siasatan sedang dilengkapkan.

Suspek utama kes itu ditahan pada 22 Sept lepas bersama-sama dua rakannya dalam serbuan 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Taiping, Perak

Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong Kuan Yin Temple di Lorong Ceylon di sini pada 29 Julai lepas.

Dalam perkembangan lain, polis masih meneruskan operasi pencarian pistol yang digunakan suspek dalam pembunuhan Hussain yang dibuang di kawasan Tasik Mines bersebelahan Lebuhraya Besraya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain