suria

PAC Tiada Kuasa Penguatkuasaan, Perkenal Jawatankuasa Lebih Tinggi - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak akan berkesan kerana tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, kata Lim Guan Eng (DAP- Bagan).

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Rabu, Guan Eng berkata orang ramai tidak akan takut dengan PAC kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk penguatkuasaan dan tidak boleh menghukum penjawat awam yang tidak patuh.

"Pengerusi PAC yang baharu mungkin seorang yang ikhlas dan jujur, tetapi apa ertinya jika tidak ada penguatkuasaan? Siapa yang akan takut?" kata Guan Eng, Rabu.

Sebagai penyelesaian, beliau mencadangkan sebuah jawatankuasa lebih tinggi dengan tiga ahli - timbalan perdana menteri, ketua pembangkang dan ketua audit negara.

"Tiga ahli dalam jawatankuasa ini boleh melihat hasil semakan laporan Audit dan menentukan tindakan yang perlu diambil berdasarkan laporan itu," katanya.

Mengulas mengenai laporan Audit 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa, Guan Eng berkata tindakan serius perlu diambil jika laporan seterusnya adalah berkaitan salah urus dana oleh kementerian dan badan-badan berkanun kerajaan.

Sementara itu, Azmin Ali (PKR-Gombak) berkata telah menjadi satu trend bagi laporan Audit Negara yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada jam kesebelas.

"Dengan cara ini, Ahli Parlimen tidak dapat menggunakan kandungan laporan itu untuk membuat kritikan dan membahaskan laporan tersebut.

"Bagaimanapun, kami (Ahli Parlimen pembangkang) akan meneliti laporan secara terperinci dan membawa isu-isu itu pada sesi Parlimen akan datang," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain