suria

MCA Akan Adakan Mesyuarat Agung Luar Biasa Bulan Ini

KUALA LUMPUR: Mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pusat MCA (CC) esok (Khamis) berkemungkinan memberi laluan kepada mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membatalkan keputusan awal parti itu untuk tidak membenarkan anggotanya memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Pemimpin parti berkata mereka menjangkakan setiausaha agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha akan mengeluarkan notis kepada perwakilan pusat yang akan menghadiri EGM dengan tarikhnya cuma akan diketahui selepas mesyuarat tergempar CC.

"EGM parti perlu diadakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh ibu pejabat parti mendapat permintaan itu. Bagaimanapun, ia boleh diadakan lebih awal jika presiden parti menggunakan kuasanya mengikut perlembagaan parti untuk mengarahkan setiausaha agung mengeluarkan notis bagi mengadakan EGM.

"Jika presiden parti memutuskan untuk menggunakan kuasanya, notis itu boleh dipendekkan kepada tujuh hari yang bermakna EGM boleh diadakan pertengahan bulan ini," kata pemimpin veteran MCA Datuk Yap Pian Hon.

Beliau berkata memandangkan lebih sepertiga (14) anggota CC telah mengemukakan permintaan, kepimpinan parti perlu mematuhinya.

Jika notis itu tidak dikeluarkan dalam tempoh lima hari mulai tarikh permintaan itu diterima, mengikut Artikel 31 perlembagaan parti itu, mereka yang yang membuat permintaan itu atau seorang daripada mereka mewakili semua orang boleh mengeluarkan notis mengenai EGM itu kepada perwakilan pusat.

Sebelum itu, pada 9 September, timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 13 anggota jawatankuasa pusat menyerahkan petisyen meminta diadakan EGM untuk menarik balik penggantungan ke atas bekas setiausaha penganjur Datuk Tee Siew Keong oleh jawatankuasa pusat.

Bagaimanapun, permintaan mereka perlu ditangguhkan berikutan kesuntukan masa untuk mengadakan EGM kerana kumpulan baharu perwakilan pusat akan dipilih pada 22 September.

Parti itu terpaksa menangguhkan permintaan mereka memandangkan jika parti mengeluarkan notis bagi EGM diadakan kepada perwakilan yang akan keluar dan mereka menghadiri EGM pada tarikh selepas perwakilan pusat baharu (dipilih), ia akan menimbulkan persoalan mengenai kesahihan kedua-dua perwakilan yang lama dan baharu menghadiri EGM, ia akan mewujudkan isu perundangan.

"Memandangkan sekarang pemilihan perwakilan pusat sudah berakhir dan dengan dua kumpulan meminta diadakan EGM, ia mungkin berlaku. Dalam hal ini, saya percaya presiden parti akan menggunakan kuasa presiden untuk memendekkan notis EGM. Dengan mesyuarat tergempar CC esok, notis paling awal boleh dikeluarkan adalah hari berikutnya (Jumaat) dengan EGM mungkin diadakan pada 13 Oktober iaitu Ahad," kata Yap.

Menurut sumber parti, dengan langkah terbaharu oleh mereka yang memihak kepada Dr Chua, Liow dan penyokongnya tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menghadapi EGM itu.

Sebenarnya, Liow pernah berkata beliau bersedia menghadapi EGM dan menyokong usul mengenai jawatan kerajaan atas alasan ia mencerminkan hasrat masyarakat Cina.

"Saya berpendapat, cara terbaik yang boleh dilakukan mereka (kumpulan Liow) ialah berunding untuk usul penggantungan Tee sebagai usul ketiga memandangkan mereka yang memihak kepada Dr Chua mahu memasukkan usul mencela Liow sebagai usul kedua. Sama ada mereka mahu memasukkan usul itu juga satu persoalan," kata satu sumber parti yang tidak mahu dikenali.

Liow telah menyatakan bahawa beliau akan mendesak CC memasukkan resolusi tambahan untuk mendapatkan pandangan perwakilan pusat berhubung keputusan perwakilan pusat mengembalikan keanggotaan Tee.

Sumber parti yang sama menjelaskan ia bukan satu masalah bagi usul pertama - membatalkan keputusan awal untuk tidak membenarkan anggota parti memegang jawatan dalam kerajaan untuk diluluskan EGM memandangkan wujud keperluan mendesak bagi anggota parti mengisi jawatan itu.

Katanya ia akan menjadi terlalu lambat jika mereka menunggu sehingga mesyuarat agung tahunan yang dijadual pada 21 Dis untuk berbuat demikian.

"Sebagai contoh, anda perlu mengemukakan senarai calon berpotensi bagi ketua kampung dan jawatan kerajaan yang lain seperti ahli majlis perbandaran menjelang Oktober," kata satu sumber parti.

Tambahan pula, beliau berkata MCA telah diberikan tempoh enam bulan untuk memutuskan sama ada mengambil satu jawatan menteri dan seorang timbalan menteri yang dikhaskan untuk mereka sebelum akhir tahun ini.

Pada mulanya, timbul cakap-cakap bahawa sesetengah anggota CC termasuk Dr Chua mungkin meletak jawatan secara keseluruhannya bagi membenarkan pemilihan parti diadakan lebih awal daripada Disember selain untuk mengubah keputusan untuk tidak membenarkan anggota parti memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaharu, nampaknya CC mahu EGM diadakan terlebih dahulu bagi membatalkan pendirian tidak membenarkan anggota parti memegang jawatan dalam kerajaan sebelum berurusan dengan pemilihan parti yang dijadual diadakan pada Disember.

Pemerhati politik berpendapat dengan mengadakan EGM terlebih dahulu, ia mungkin menjejaskan peluang Liow untuk jawatan tertinggi parti sekiranya usul untuk mencela beliau diterima pakai dalam EGM.

MCA, dengan aset bernilai RM2 bilion telah melalui pelbagai EGM sejak lima tahun kebelakangan ini bagi menyelesaikan krisis dalaman. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain