suria

Jamu, Produk Kosmetik Bernilai Lebih RM150,000 Dirampas

GEORGE TOWN: Sebanyak 6,500 paket jamu bernilai RM65,000 dirampas selepas sebuah kilang pembuatannya di Batu Kawan di sini dibongkar semalam.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Nor Aniza Ahmad berkata jamu itu turut dikesan mengandungi steroid yang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan metabolisme, melemahkan sistem pertahanan badan dan menjejaskan buah pinggang.

"Kita telah mengesan produk itu sejak 2012 di kedai menjual jamu dan telah lama melakukan risikan bagi menjejaki lokasi memproses produk berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata setiap paket jamu itu boleh menghasilkan 10 botol jamu dan dijual pada harga RM10 setiap satu.

"Kita juga dapati jamu yang digunakan untuk mengubati sakit sendi dan pinggang itu turut mempamerkan nombor pendaftaran Kementerian Kesihatan palsu pada labelnya," katanya.

Nor Aniza berkata dalam operasi bersepadu di seluruh negeri yang bermula pukul 11 pagi itu, cawangan tersebut turut menyerbu tujuh premis perniagaan di sekitar kawasan pulau dan Seberang Perai serta merampas 157 jenis produk kosmetik yang dianggarkan bernilai RM92,625.

Beliau berkata daripada jumlah itu, ia terdiri daripada 62 jenis produk seperti krim pemutih dan ubat pelangsing yang disyaki mengandungi racun berjadual.

Beliau berkata produk berkenaan dipercayai dibeli dengan kuantiti yang banyak dari negara jiran dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.

Katanya pemilik kilang tidak berlesen terbabit telah melanggar peruntukan di bawah Akta Racun 1952 dan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

"Manakala pemilik premis melakukan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM25,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain