Bajet 2014 Bukan Pertimbangan SPR Tetap Tarikh PRK Sungai Limau - Semasa | mStar

Bajet 2014 Bukan Pertimbangan SPR Tetap Tarikh PRK Sungai Limau

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan bahawa pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini bukan faktor yang menjadi pertimbangan dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, apa yang paling penting adalah PKR kali ini diadakan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 6 November ini.

"Ini sebab banyak pusat mengundi dan dewan mengundi digunakan nanti adalah milik sekolah. Jadi, kita tidak mahu mengganggu pihak sekolah dari segi penyusunan kerusi-kerusi dan meja-meja.

"Selain daripada itu, pertimbangan kita adalah (cuti umum) Hari Deepavali (2 November) dan Awal Muharam (5 November). Oleh itu, dari segi SPR, bajet (2014) langsung tiada dalam pertimbangan kami (menetapkan tarikh PRK Sungai Limau)," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan pembangkang supaya PRK Sungai Limau diadakan sebelum pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober bagi mengelakkan pengumuman dari segi pemberian wang tunai (BR1M) akan mempengaruhi pengundi.

Abdul Aziz berkata, selain itu pertimbangan menetapkan tarikh PRK Sungai Limau turut melibatkan minimum bilangan 11 hari berkempen dan memberi laluan kepada pemilihan Umno pada 19 Oktober dan Dewan Muktamar PAS pada 21 November.

SPR pada Khamis menetapkan tarikh PRK bagi DUN Sungai Limau pada 4 November manakala hari penamaan calon 23 Oktober.

PRK DUN Sungai Limau akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas, Azizan yang juga bekas menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN dengan majoriti 2,774 undi.

Artikel Sebelum

Bacaan Kedua 12 Rang Undang-Undang Ditangguh

Artikel Berikut

Bayi Enam Bulan Maut Tersedak Susu

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain