suria

Proses Pemutihan Di Bawah Program 6P Tidak Dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju untuk tidak melanjutkan proses Pemutihan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pati (6P).

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-Pati) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen petang Rabu.

Bagaimanapun, bagi majikan yang mendakwa ditipu semasa menguruskan proses Pemutihan Pati, mereka perlu merujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya kes itu diteliti di bawah Program Khas Pengurusan Pati (PKPP).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jawatankuasa itu, PKPP bertujuan untuk menyelesaikan permohonan oleh majikan yang tidak dapat memutihkan Pati disebabkan penipuan agen, mengurangkan jumlah Pati sedia ada, memastikan pematuhan undang-undang berkaitan dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dapat dikawal.

"PKPP akan dilaksanakan serentak dengan Ops 6P Bersepadu," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua majikan dinasihatkan untuk mengemukakan laporan polis bermula 1 September 2011 sehingga 10 September lalu.

"Program itu akan dilaksanakan secara kerajaan kepada kerajaan dan tidak melibatkan agen atau orang tengah di mana urusan hanya melibatkan majikan sahaja," menurut kenyataan itu.

PKPP akan dilaksanakan selama tiga bulan sahaja bermula 21 Oktober ini sehingga 20 Januari tahun depan dan tiada lagi proses pendaftaran Pati selepas tarikh itu.

Selain itu, jawatankuasa tersebut juga bersetuju supaya Kad Pekerja Asing berwarna mengikut sektor pekerjaan dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua pekerja asing sedia ada dalam tempoh terdekat.

"Kad ini mengandungi maklumat dan butiran asas pemegang kad yang dirangkaikan dengan pangkalan data biometrik dengan Jabatan Imigresen," menurut kenyataan itu lagi.

Artikel Berikut

Artikel Lain