suria

Pengarah Syarikat Mengaku Tidak Bersalah Dua Tuduhan Rasuah RM200,000

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat perikanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM200,000, Jun lepas.

Choh Chaw Khiang, 41, didakwa secara rasuah memberikan dua suapan berjumlah RM100,000 kepada Arman Alies, pada 1 pagi dan 4.25 petang, pada 8 Jun lepas.

Wang itu kononnya untuk diberikan kepada pegawai atasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Putrajaya sebagai dorongan melepaskan dua bot yang ditahan atas kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Choh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing, di dalam tandas Restoran Melting Pot, Hotel Concorde, Jalan Sultan Ismail dan di Restoran Dine All Day Dining, Hotel Sri Petaling, Bandar Baru Sri Petaling.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Nur Lokman Samingan menawarkan jaminan RM600,000 dengan seorang penjamin rakyat tempatan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Peguam R.Kengadharan memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga, isterinya seorang suri rumah warga Vietnam dan mempunyai tiga anak masing-masing berusia lapan bulan, lima dan tujuh tahun.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 7 Nov untuk sebutan kes. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain