suria

KPDNKK P.Pinang Bongkar Sindiket Cetak VCD/DVD Cetak Rompak

BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan sindiket yang bukan hanya menjadikan rumah teres di Taman Chai Leng di sini sebagai lokasi simpanan VCD dan DVD cetak rompak tetapi juga tempat untuk mencetaknya.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Pulau Pinang Abdul Rosik Yakob berkata sindiket terbabit sengaja membiarkan kawasan hadapan rumah berkenaan semak dan kotor supaya kelihatan tidak berpenghuni.

Mereka juga dipercayai menggunakan laluan di lorong belakang kediaman terbabit untuk memunggah VCD dan DVD yang sudah siap dicetak bagi tujuan edaran, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata sindiket itu juga dipercayai hanya menjalankan kerja mencetak dan memunggah pada waktu malam bagi mengelak daripada kegiatan mereka diketahui penduduk berdekatan serta dikesan pihak berkuasa.

"Dipercayai sindiket berkenaan menjalankan operasi mereka di rumah teres terbabit tanpa disedari penduduk sekitar sejak setahun lalu," katanya.

Abdul Rosik berkata serbuan pada 11 pagi diketuai Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang Mohd Amir Omar itu dibuat selepas menjalankan intipan sejak seminggu lepas.

"Dalam serbuan itu, kita merampas sebanyak 30,000 keping VCD dan DVD cetak rompak pelbagai tajuk filem tempatan serta antarabangsa termasuk filem animasi.

"Kita turut merampas sebanyak sembilan mesin mencetak bersama satu set komputer. Kesemua yang dirampas itu bernilai RM350,000 dan tiada sebarang tangkapan kerana ketika diserbu tiada sesiapa di rumah itu," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda sebanyak RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya siasatan awal mendapati VCD dan DVD terbabit diedarkan kepada peniaga di tepi jalan, pasar malam dan premis menjual bahan cetak rompak di seluruh Pulau Pinang dan negeri jiran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain