suria

DUN Melaka Lulus Usul Ali Rustam Dilantik Anggota Dewan Negara

MELAKA: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Rabu meluluskan usul melantik bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai Anggota Dewan Negara bagi mewakili negeri itu.

Usul berkenaan dicadangkan Ketua Menteri Datuk Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan disokong Datuk Abdul Ghafar Atan (BN-Gadek) sebelum dewan membuat penggulungan perbahasan yang kemudiannya mendapat persetujuan 20 daripada 28 anggota dewan.

Mohd Ali telah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka Kesembilan selama 13 tahun bermula 2 Dis 1999 dan kini menerajui Perbadanan Usahawan Nasional Berhad sebagai pengerusi.

Ketika mencadangkan usul itu, Idris berkata Mohd Ali telah meninggalkan asas yang kukuh di negeri itu dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar, pentadbiran dan budaya hidup rakyat Melaka.

"Saya yakin dengan pelantikan ini beliau mampu meneruskan sumbangan bukan sahaja kepada rakyat Melaka tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai anggota Dewan Negara.

"Melaka di bawah kepimpinan beliau membangun dengan pesat," katanya.

Sementara itu, Mohd Ali berkata usul untuk melantiknya sebagai anggota Dewan Negara mewakili Melaka merupakan penghormatan yang amat besar bagi dirinya dan akan menggunakan peluang itu nanti untuk membawa suara rakyat peringkat akar umbi.

"Saya akan meneruskan khidmat saya membantu rakyat sepenuh hati dan akan terus membantu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membela nasib rakyat.

"Terima kasih kepada Ketua Menteri (Idris) dan kerajaan negeri kerana kepercayaan ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain