suria

Tiada Penarikan Balik RUU Pencegahan Jenayah, Peruntukan Pindaan Kontroversi Akan Dikaji Semula - Zahid

KUALA LUMPUR: Tiada penarikan balik cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang telah dibentangkan namun kajian semula terhadap pindaan peruntukkan rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen akan dilaksanakan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kami sangat tegas dalam perkara ini, kita tidak akan tarik balik rang undang-undang.

"Bagaimanapun, kita terbuka kepada cadangan dan sedia membuat perubahan dan sedia memasukkan dalam rang undang-undang tersebut apabila ia sampai ke Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa.

Zahid berkata beliau telah menemui beberapa wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan untuk mendapatkan maklum balas berhubung pindaan rang undang-undang yang dicadangkan.

Beliau menambah sebarang perubahan terhadap peruntukan rang undang-undang tersebut perlu di bawa ke Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

Ditanya mengenai kurangnya semakan kehakiman ke atas suspek yang ditahan dalam tempoh dua tahun di bawah rang undang-undang yang dicadangkan itu, Zahid memberi bayangan mungkin ada perubahan dalam rang undang-undang tersebut.

Beliau turut menolak dakwaan wakil rakyat pembangkang yang mendakwa tempoh perbahasan selama tiga hari untuk membahaskan isu tersebut tidak mencukupi.

Rabu lalu, kerajaan membentangkan 11 rang undang-undang di Dewan Rakyat dengan memberi tumpuan kepada undang-undang pencegahan jenayah bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

NGO termasuk pengamal undang-undang daripada dua parti politik yang berbeza telah menyatakan ketidaksetujuan mereka terhadap PCA yang membenarkan tahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun dengan peluang yang terhad untuk memohon semakan semula kehakiman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain