suria

Suhaili Mahu Pertahan Jawatan Ketua Umno Bahagian Labuan

LABUAN: Pemilihan Umno Bahagian Labuan dijangka sengit apabila bekas Anggota Parlimen Datuk Suhaili Abd Rahman, yang mahu mempertahan jawatan ketua bahagian yang disandangnya sejak dua penggal lepas, bakal dicabar setiausaha bahagian Rosman Isli.

Walaupun ramai yang terkejut apabila Suhaili menyerahkan borang pencalonan, kebanyakan perwakilan dan anggota Umno bahagian ini berpendapat beliau layak bertanding malah ada yang memberinya dorongan dan sokongan.

Suhaili dibenar menjawat semula jawatan ketua bahagian setelah digantung jawatan berikutan pertuduhan mahkamah pada 2009 atas kesalahan tidak memaklumkan kepada pihak bank bahawa beliau seorang muflis ketika menjadi penjamin satu permohonan pinjaman bank. Beliau dibebaskan setelah membayar denda RM10,000.

Penganalisis politik yang juga pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg berkata berikutan pertandingan itu, wujud 'kem Suhaili' dan 'kem Rosman'.

Kem Suhaili dapat dilihat apabila bekas ketua penerangan bahagian, Alias Hussin yang juga ketua cawangan Lubok Temiang bertanding jawatan timbalan ketua bahagian dan berhadapan dengan naib ketua bahagian Datuk Bashir Alias.

Rosman yang juga Anggota Parlimen Labuan pula dikatakan bergandingan dengan Bashir dalam mendapatkan sokongan anggota parti untuk memilih mereka.

Romzi berkata pemilihan Umno Labuan kali ini bukan laluan mudah meskipun percaturannya sudah dibuat lebih awal. "Ini berikutan kemunculan Suhaili yang mempunyai testimoni dalam mencorak lanskap pembangunan Labuan hingga menjadi pulau dengan kemudahan bertaraf antarabangsa," katanya.

Menurutnya Suhaili juga dilihat sebagai pemimpin yang boleh membina jambatan penghubung antara Labuan dan kerajaan persekutuan, yang akhirnya membawa manfaat buat penduduk pulau ini.

"Walaupun pernah mempunyai masalah dalam parti, kepimpinan beliau membawa arus pembangunan Labuan dan kestabilan politik Umno bahagian," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pemimpin yang pernah menghadapi tindakan parti, selalunya melalui transformasi minda yang boleh membawa kepada transformasi positif buat parti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain