suria

Projek MERS 999 Sebabkan Berlakunya Pembayaran Tidak Wajar

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa pemantauan yang ditubuhkan bagi memantau Projek Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 gagal mentadbir kontrak kerajaan sehingga menyebabkan berlaku pembayaran tidak wajar sebanyak RM13.54 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa menyatakan Jawatankuasa Pemantauan Dan Penilaian Projek (JPPP)mengesahkan pembayaran RM1.62 juta berbanding kos dalam Bill of Quantity berjumlah RM1.08 juta, yang mengakibatkan terlebih bayar sebanyak RM0.54 juta.

Selain itu, terdapat pembayaran tidak wajar bagi Mobilisation Fees Capital Expenditure-CAPEX Fasa 2 berjumlah RM13 juta, yang dibayar tanpa pengesahan jawatankuasa.

"Kelemahan jawatankuasa pemantauan projek dan kecuaian pegawai kementerian telah menyebabkan improper payment berjumlah RM13.54 juta," menurut laporan itu.

Audit berpendapat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan selaku agensi pelaksana tidak memberi perhatian serius terhadap pengurusan dan pentadbiran kontrak MERS 999 itu.

Audit meminta tindakan sebagaimana Arahan Perbendarahaan 167 diambil terhadap semua anggota jawatankuasa yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Bagi memastikan perbelanjaan projek itu memberi nilai faedah terbaik kepada kerajaan, Audit turut mengesyorkan sembilan tindakan yang perlu diambil kerajaan.

Antara syor itu ialah memastikan sistem beroperasi mengikut jadual yang ditetapkan, memastikan masalah panggilan bukan kecemasan ditangani dengan undang-undang dan memasukkan terma penalti sekiranya kontraktor gagal mencapai sasaran kualiti perkhidmatan yang ditetapkan.

Dalam maklum balasnya, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berpandangan jawatankuasa yang ditubuhkan adalah memadai, namun ia tidak digunakan sepenuhnya.

Justeru, kementerian merancang supaya jawatankuasa itu memainkan peranan yang lebih banyak bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan berkesan dan menjaga kepentingan kerajaan.

MERS 999 ialah perkhidmatan panggilan kecemasan yang menerima 68 peratus panggilan palsu setiap hari menerusi lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Sementara itu, Audit turut mendapati pembangunan dan pemasangan sistem MERS 999 di 16 tapak, lewat dilaksanakan dan 34 tapak lagi beroperasi lewat daripada tempoh yang ditetapkan.

"Tempoh kelewatan adalah antara dua hingga enam bulan dan pada pendapat Audit, prestasi pelaksanaan fizikal projek adalah tidak memuaskan kerana kelewatan itu yang boleh menjejaskan objektif serta prestasi projek," menurut laporan itu.

Kementerian dalam maklum balasnya kepada perkara itu pada 26 April 2013 menyatakan kelewatan pembinaan tapak dan kontrak pelaksanaan bagi 2011-2012 bermula pada 30 Sept 2011.

Kelewatan selama sembilan bulan bagi memulakan kerja itu disebabkan oleh kelewatan kelulusan diperoleh dari agensi Pusat menyebabkan perubahan tempoh siap tapak terpaksa dipinda berdasarkan tempoh permulaan kerja.

Bagi kelewatan tapak beroperasi pula, kelewatan memulakan operasi bergantung pada justifikasi sistem, yang perlu menjalani User Acceptance Test (UAT) oleh Master of Trainer (MOT) dan pegawai di agensi telah diberikan latihan.

"Pada masa yang sama, keputusan untuk untuk penetapan tarikh operasi ditentukan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MERS 999 bersama agensi terlibat oleh itu kementerian tidak dapat menyeragamkan masa operasi kerana ia bergantung pada kesesuaian masa agensi," jelas kementerian.

Sementara itu, Audit turut mendapati pengurusan seminar dan lawatan ke luar negara tidak sempurna kerana ia tidak mematuhi terma kontrak selain terdapat bayaran yang tidak munasabah.

Laporan itu menyatakan kementerian perlu mengutip semula daripada kontraktor bagi perbelanjaan yang berjumlah RM253,813 kerana tidak munasabah.

Kementerian dalam maklum balasnya mengakui terdapat kelemahan dalam urusan pemantauan bayaran ke luar negara kerana bergantung sepenuhnya kepada maklum balas TM serta persetujuan Jawatankuasa Pemantauan dan Penilaian Projek MERS 999.

Dalam pada itu, Audit mendapati prestasi perbelanjaan pembangunan dan mengurus kementerian adalah sangat baik kerana ia telah membelanjakan keseluruhan peruntukan bagi projek itu.

Peruntukan keseluruhan projek berjumlah RM801.55 juta telah diluluskan meliputi pembangunan CAPEX RM681.55 juta dan peruntukan mengurus (OPEX) sejumlah RM120 juta.

Sehingga 31 Dis 2012, prestasi perbelanjaan pembangunan adalah RM680.3 juta (99.8 peratus) dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM120 juta (100 peratus).

Mulai 15 Mei lepas, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain