suria

Pemilihan PAS: Calon Boleh Bentuk Kumpulan, Promosi Diri

KUALA LUMPUR: PAS membenarkan calon yang akan bertanding pada pemilihan parti itu untuk berkempen secara terbuka termasuk membentuk kumpulan tertentu berdasarkan kehendak dan keselesaan masing-masing.

Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata, kebenaran itu bertujuan memudahkan pemimpin dan ahli parti itu mempromosikan diri masing-masing selagi tidak bertentangan dengan garis panduan dan kod etika berkempen.

"Buat pertama kali kita benarkan calon untuk mempromosikan diri atau berkempen sama ada secara bersendirian atau secara berkumpulan.

"Bagaimanapun mereka tertakluk kepada enam sekatan khas berkaitan etika pemilihan yang diperkenalkan dalam bentuk bertulis," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, Selasa.

Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat akan berlangsung pada 22 November manakala bagi pemilihan peringkat sayap parti itu akan diadakan pada 21 November.

Keputusan bagi pemilihan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diketahui pada hari yang sama sementara keputusna bagi pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat akan diumumkan pada 23 November sewaktu Muktamar Penuh PAS Pusat ke-59 yang akan berlangsung di Shah Alam.

Selain itu menerusi kod etika pemilihan parti itu juga, calon yang bertanding ditegah daripada menyalahgunakan program anjuran PAS untuk berkempen atau memburukkan pihak lawan.

"Jawatankuasa akan pantau calon-calon yang bertanding selain kita alu-alukan aduan daripada ahli PAS sekiranya berlaku perlanggaran etika berkempen.

"Kes perlanggaran kod etika berkempen akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin PAS dan calon yang didapati bersalah boleh dibatalkan pencalonannya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain