suria

MyKad Beri Hasil RM66.84 Juta Kepada JPN Tahun 2012

KUALA LUMPUR: Prestasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam pengeluaran MyKad sepanjang 2012 adalah memuaskan berikutan kejayaannya meningkatkan hasil kutipan sehingga RM66.84 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan hasil dikutip JPN meningkat daripada RM53.91 juta pada 2010 kepada RM66.84 juta pada 2012.

"Prestasi pengeluaran MyKad meningkat daripada 92 peratus pada 2010 kepada 97.4 peratus pada 2011 tetapi menurun kepada 95.9 peratus pada tahun lepas," menurut laporan itu.

Audit melakukan pengauditan terhadap semua aspek berkaitan kad pintar itu di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, JPN Cawangan Ayer Keroh, Melaka, JPN Cawangan Setia Tropika, Johor Baharu dan JPN Cawangan Kuching, Sarawak.

Namun, laporan itu menyatakan terdapat beberapa kelemahan dikesan sepanjang pengauditan dari Julai hingga Oktober 2012 seperti prosedur kualiti tidak dipatuhi, kelewatan penyiapan MyKad, bayaran bagi penyewaan mesin pencetak yang tidak digunakan, kelemahan pengurusan pelupusan MyKad rosak, dan kelemahan pengurusan alat pembaca MyKad.

Sehubungan itu, Audit mengesyorkan beberapa langkah untuk meningkatkan lagi sistem pengurusan kad pintar pelbagai guna MyKad termasuk memastikan dasar, peraturan dan piagam pelanggan yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh JPN.

Jabatan itu juga meminta JPN memastikan kadar kerosakan MyKad dikurangkan dengan mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan.

JPN turut disyorkan supaya memastikan kontrak ditandatangani dalam tempoh ditetapkan bagi menjamin kepentingan kerajaan dan syarat-syarat kontrak dipatuhi oleh pembekal selain mempertimbang cadangan penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan untuk orang awam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain