suria

Lapan Ditahan Bantu Siasatan Sindiket Rasuah Pukat Tunda - SPRM

PUTRAJAYA: Lapan lelaki ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan mengenai kes rasuah nelayan asing membabitkan penggunaan pukat tunda secara haram di perairan negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata SPRM telah memantau perkara itu sejak kes itu dilaporkan tahun lepas dan setakat ini sejumlah RM1.2 juta wang tunai untuk tujuan merasuah dirampas.

Beliau berkata masing-masing dua orang ditangkap di Kuala Lumpur; Kota Tinggi, Johor; Kuantan, Pahang; dan di Kota Baharu, Kelantan.

Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 35 hingga 60 tahun dan kini direman antara empat hingga enam hari," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Beliau berkata kesemua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 membabitkan kesalahan menerima suapan.

Mohd Shukri berkata dua kesalahan utama yang dikesan ialah membabitkan bayaran rasuah untuk melepaskan bot yang ditahan serta bayaran rasuah daripada nelayan asing supaya mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang.

SPRM dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), katanya telah menjalankan siasatan teliti dan disyaki penggunaan pukat tunda itu turut membabitkan usaha merasuah pegawai penguat kuasa.

Mohd Shukri berkata hasil maklumat, mendapati sindiket didalangi tiga kumpulan utama, dianggotai rakyat tempatan dan asing (Vietnam) dan sehingga hari ini beberapa siri transaksi berjaya dikesan.

"Setakat ini sejumlah RM1.2 juta wang tunai untuk tujuan merasuah dirampas manakala sebanyak empat bot pukat ganding milik warga Vietnam yang dianggarkan bernilai hampir RM5 juta telah di sita," katanya.

Beliau berkata isu penggunaan pukat tunda secara haram dilihat sebagai serius dan perkara itu bukan sahaja mengancam ekosistem serta pendapatan nelayan malah boleh mengancam keselamatan negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain