suria

Belanjawan Tidak Akan Diguna Untuk 'Umpan' Pengundi - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan tidak akan menggunakan Belanjawan 2014 untuk "mengumpan" pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah nanti.

Beliau berkata pembangkang tidak perlu bimbang jika PRK itu diadakan selepas pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Okt ini.

Katanya parti pembangkang tidak seharusnya mencampuri urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menetapkan tarikh PRK itu kerana badan itu mempunyai mekanisme tersendiri untuk menentukannya.

"Kita tidak tahu bila Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) akan meninggal dunia dan hanya secara kebetulan PRK ini berlaku dalam tempoh yang terdekat dengan (pembentangan) Belanjawan 2014," katanya dan menambah, untuk itu, pembangkang tidak seharusnya takut dengan pengumuman Belanjawan 2014.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen di sini hari ini apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar semalam, yang mahu PRK Sg Limau diadakan sebelum pembentangan Belanjawan 2014 bagi mengelak sebarang pengumuman, khususnya berkaitan pemberian tunai, digunakan sebagai modal berkempen.

"Sepatutnya mereka (pembangkang) ini mengalu-alukan berita gembira (yang diumumkan dalam Belanjawan nanti)...kita tahu banyak berita gembira pada pembentangan Belanjawan 2014," katanya.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak dari PAS meninggal dunia pada 26 Sept lalu di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Pada pilihan raya umum ke-13, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi, manakala dua calon Bebas Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad hilang wang pertaruhan.

Mengenai subsidi minyak, Ahmad berkata kerajaan telah membelanjakan banyak wang dalam pemberian subsidi minyak termasuk RM8.853 bilion seperti yang terkandung dalam Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2013) diluluskan Dewan Rakyat Selasa.

"Kadang-kadang rakyat tidak sedar akan pemberian subsidi, sedangkan wang yang dibelanjakan begitu besar. Bayangkan jumlah RM8.853 bilion itu begitu besar dan boleh digunakan untuk pelbagai tujuan jika tidak dibelanjakan untuk subsidi minyak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain