suria

Bekas Teman Wanita Lelaki Bosnia Dakwa Diugut Bunuh

KUALA LUMPUR: Chung Shun Yee, bekas teman wanita lelaki warganegara Bosnia yang didakwa mempergunakan sperma lelaki itu bagi tujuan menghasilkan anak baka Eropah, mendakwa beberapa kali diugut bunuh sekiranya tidak mengikut arahan lelaki itu.

Chung, 29, dalam pernyataan pembelaannya berkata Ervin Ahbabovic, 41, akan menderanya dan mengugut membunuh anggota keluarganya jika dia tidak akur dengan perintah lelaki itu.

Menerusi pernyataan yang difailkan pada Isnin melalui Tetuan K.F.Ee & Co, Chung berkata beliau turut merasa tertekan dengan tindakan lelaki itu yang sering meminta wang untuk kegunaan peribadinya kerana tidak mempunyai pekerjaan.

Chung mendakwa Ahbabovic turut mengugut untuk mendedahkan gambar-gambar dan video peribadi yang diambil tanpa disedarinya kepada rakan-rakan dan memusnahkan kerjayanya sebagai ahli perniagaan.

Katanya, lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau di mahkamah antaranya memandu dalam keadaan mabuk, kesalahan cabul dan kes perceraian dengan bekas isterinya.

Chung berkata dakwaan Ahbabovic terhadapnya mengenai pengunaan spermanya adalah dakwaan yang sangat tidak bermoral, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan polisi awam.

Dalam pernyataan pembelaan itu juga, beliau menuntut ganti rugi kehilangan perniagaan RM200,000, wang pampasan RM120,000, ganti rugi am, teladan dan lain-lain ganti rugi yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 3 September lepas, Ahbabovic yang diwakili peguam Nasir Yusof memfailkan saman terhadap Chung bagi mendapat ganti rugi RM600,000 kerana mendakwa dipergunakan untuk mendapatkan spermanya bagi menghasilkan anak baka Eropah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahbabovic, pengarah komersial dalam industri pembangunan perniagaan di sebuah syarikat mendakwa beliau mula menjalin hubungan dengan wanita tempatan pada 2008 dan hasil perhubungan itu mereka memperoleh seorang anak lelaki yang kini berumur tiga tahun lebih.

Lelaki itu mendakwa bekas teman wanitanya itu juga telah menghalaunya keluar dari rumah dan menghalangnya daripada melihat anaknya, dan selepas itu dia ada menghubungi wanita itu dalam usahanya untuk berbaik semula demi kepentingan anak mereka.

Beliau mendakwa niatnya itu dibalas dengan kata-kata yang mengejutkan apabila defendan menyatakan bahawa plaintif sebenarnya dipergunakan sebagai alat pemuas seks selain bagi mendapatkan sperma miliknya yang membolehkan defendan memperoleh anak genetik orang Eropah.

Ahbabovic menuntut ganti rugi itu kerana penggunaan spermanya dalam usaha mendapatkan anak dengan cara yang salah, dan memohon supaya beliau disah dan didaftarkan sebagai bapa di dalam sijil kelahiran anak lelakinya, faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, peguam James Ee Kah Fuk yang mewakili Chung memaklumkan pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Ahbabovic dalam minggu ini.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Rohani Ismail menetapkan 30 Okt ini untuk pengurusan kes, ketika kes itu disebut di dalam kamarnya Selasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain