suria

Audit Negara: Projek 'Sakit' Pembentungan Di Kuala Sawah Beri Impak Kos Kepada Kerajaan

KUALA LUMPUR: Projek rangkaian paip pembetungan di Kuala Sawah, Seremban, Negeri Sembilan yang 'sakit' ekoran kelewatan kontraktor asal menyiapkan projek memberi impak kepada kerajaan dari aspek kos berikutan peningkatan kos keseluruhan projek daripada RM81.45 juta kepada RM121.65 juta.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Selasa, semakan audit mendapati Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) masih belum menuntut kerugian itu memandangkan kerja-kerja pembinaan oleh kontraktor penyelamat masih dalam peringkat pelaksanaan.

Mengikut syarat kontrak, kerajaan boleh menuntut sebarang kerugian daripada kontraktor asal jika kontrak ditamatkan akibat kegagalan menyiapkan projek.

Menurut laporan audit itu, maklum balas JPP yang diterima pada 8 Mac 2013 menyatakan bahawa pelantikan kontraktor itu bukan seperti yang disyorkan Jawatankuasa Penilaian Tender JPP dan Lembaga Perolehan A, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Bagaimanapun, JPP telah memantau dan membantu kontraktor dalam pelaksanaan projek namun kontraktor tidak berupaya menyiapkan projek berkenaan.

JPP dalam maklum balasnya menyatakan terpaksa mengambil langkah penamatan pengambilan kerja kontraktor mengikut prosedur dan peruntukan kontrak sedia ada.

Menurut jabatan itu, kerugian yang dialami oleh kerajaan dan/atau ganti rosak yang berlaku kepada kerajaan akan dituntut secara terus daripada kontraktor.

Tuntutan dijangka dikemukakan pada Julai 2013, menurut maklum balas JPP dalam laporan audit itu.

Sehubungan itu, laporan itu mengesyorkan kepada JPP supaya menyenaraihitamkan kontraktor yang gagal menyiapkan kerja pembinaan projek pembetungan mengikut syarat kontrak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain