suria

Audit 2012: PAC Akan Panggil Sekurang-Kurangnya Tiga Kementerian

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil sekurang-kurangnya tiga kementerian bagi memberi keterangan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2012, yang dikeluarkan pada Selasa.

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata keputusan untuk memanggil kementerian berkenaan akan dibuat dalam mesyuarat PAC pada 21 Oktober ini.

"PAC akan mendalami laporan Ketua Audit Negara yang dibentang hari ini untuk memanggil tiga atau empat kementerian yang mempunyai isu," katanya pada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama Jabatan Audit Negara di bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama kementerian itu.

Nur Jazlan, yang dilantik sebagai Pengerusi PAC Khamis lepas, berkata PAC akan berbincang lebih lanjut berhubung kementerian mana yang akan lebih dahulu dipanggil bergantung pada keutamaan sesuatu kes.

Katanya kementerian terbabit kemudiannya akan diberi masa dua minggu untuk bersiap sedia sebelum bertemu dengan PAC.

Mengulas mengenai mesyuarat bersama Jabatan Audit Negara, beliau berkata jabatan itu akan memulakan proses pengauditan lebih awal bagi projek yang melebihi kos RM1 bilion dan memantau projek melebihi kos RM500 juta.

Katanya ini bagi memastikan projek-projek itu dilaksanakan dengan integriti, selain tidak terlepas pandang dengan mana-mana kesalahan yang dilakukan.

Nur Jazlan juga berkata bagi projek kerajaan yang mempunyai isu atau masalah besar, satu jawatankuasa akan diwujudkan dan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk siasatan dan tindakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain