suria

APMM Rampas Barang Kawalan Bernilai Lebih RM1 Juta Di Sabah Sepanjang Tahun

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah Dan Labuan merampas pelbagai barang kawalan dan bebas cukai bernilai RM1,815,137.50 bagi tempoh Januari-September tahun ini di seluruh negeri.

Ketua Penguatkuasa Wilayah Maritim Sabah dan Labuan Kapten Maritim Wan Mohd Affandi Wan Ahmad berkata, bagi tempoh itu, sebanyak 21,745 pemeriksaan dilakukan di Zon Maritim Sabah dan Labuan, menyebabkan 1,133 orang ditangkap.

Hasil lelongan dan kompaun sepanjang tahun ini adalah RM8,250 melibatkan barang rampasan seperti bahan api (diesel dan petrol) 60 kes, arak (17), rokok (27), gula (73), beras (12), tepung (18), gas memasak (13) dan minyak masak (59), katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Daripada jumlah itu, 68.4 peratus melibatkan tangkapan besar di bawah Akta Imigresen, 28 peratus (Akta Perkapalan Saudagar), 18.1 peratus (Akta Perikanan), 15 peratus (Akta Kawalan Bekalan dan KPDNKK, 4.2 peratus (Akta Kastam).

Beliau berkata, antara kes berprofil tinggi pada tahun ini ialah sebuah bot yang ditahan di Labuan membawa rokok dan arak tanpa duti Kastam dan memiliki sejumlah peluru hidup.

"Terdapat juga bot disyaki membawa keluar barang kawalan minyak petrol bersubsidi (RON95) sebanyak 20 tong di Tawau," katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhan sejak penubuhannya pada 2006, agensi itu telah berjaya merampas barang kawalan dan bebas cukai sebanyak RM6,109,560.55 juta dan menahan 1,377 pendatang tanpa izin yang melibatkan 485 warga Indonesia, 754 Filipina, 31 Vietnam dan 107 lain-lain warganegara kerana pelbagai kesalahan.

Dari sudut bantuan mencari dan menyelamat pula, agensi itu telah menyelamatkan 852 nyawa dan harta benda yang bernilai RM425,787,600 juta.

Beliau berkata antara operasi yang dijalankan ialah Op Sejahtera iaitu operasi utama dalam menguatkuasakan undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia, dan beberapa Op Khas seperti Op Pintas, Op Bersepadu dan Op Kanta Laju yang memberi tumpuan kepada sasaran tertentu.

Operasi lain ialah Op Pluto Timur bagi mengekang pencerobohan kumpulan pengganas Sulu, Op Ikan dan Op Gemusut Kakap bagi mencegah pencerobohan di pelantar minyak negara, katanya.

Orang ramai diminta menghubungi APMM segara untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah atau kecemasan di laut menggunakan Hotline 999 atau 03-89434001 atau 03-89413140.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain