suria

Suaram Serah Memorandum Bantah Pindaan PCA

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 ahli Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berkumpul di pintu masuk Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membantah pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 2013.

Turut hadir menyertai kumpulan itu adalah Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga; Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Lim Kit Siang (Gelang Patah), N. Surendran (Padang Serai), M. Kulasegarn (Ipoh Barat) dan Teresa Kok (Seputeh).

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid, Nor Zaihan Thambi di lobi Parlimen pagi Isnin.

Nor Zaihan berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak boleh membuat sebarang keputusan kerana perkara ini perlu dirujuk kepada Ahmad Zahid," katanya.

Sementara itu, Ambiga menyifatkan pindaan itu sebagai tidak perlu dilakukan.

"Negara-negara lain di dunia ini tiada akta khusus untuk memerangi jenayah," katanya.

Pindaan akta tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

Pindaan itu membenarkan penahanan tanpa perbicaraan tidak melebihi dua tahun bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Rang undang-undang itu juga memasukkan satu seksyen baharu iatu 7B dan 7C untuk menubuhkan Lembaga Pencegahan Jenayah bagi menggantikan menteri dan anggota itu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Lain