suria

Lanun: Keselamatan Perairan Negara Terkawal

KUALA LUMPUR: Tiada aktiviti pelanunan dilapor di Selat Melaka dalam perairan Malaysia walaupun laporan Biro Maritim Antarabangsa (IMB) menyebut sarang lanun paling bahaya kini terletak di Selat Melaka dalam perairan Indonesia, mengatasi kedudukan Somalia.

Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata tiada aktiviti pelanunan dalam perairan negara di selat itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengukuhan kawalan di kawasan Selat Melaka dalam perairan negara ini, yang hampir sepanjang 900 kilometer, dilakukan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru dengan melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan negara iaitu APMM, Polis Marin dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Rondaan juga diadakan 24 jam setiap hari," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan IMB mengenai perkembangan itu.

Menurut laporan IMB itu, dengan jumlah pulau kecil yang banyak dan muara sungai yang diliputi hutan bakau, kawasan pantai Indonesia, sesuai untuk lanun bersembunyi dan mengelak daripada ditangkap.

Laporan itu turut berkata kumpulan lanun, yang beroperasi di perairan Indonesia menggunakan senjata api, pisau dan parang.

Menurut IMB daripada sejumlah 138 insiden lanun yang dicatat di seluruh dunia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 48 adalah di Indonesia.

Zulkifli berkata pemeriksaan ke atas kapal adalah antara usaha dalam membanteras aktiviti lanun di perairan negara ini yang merupakan antara laluan utama kapal dagang dunia.

Beliau berkata APMM turut memiliki 252 aset operasi termasuk kapal, bot, pesawat udara dan radar bagi menjaga perairan dan ruang udara di Zon Maritim Malaysia.

"Walaupun aktiviti pelanunan dilaporkan berlaku di perairan Indonesia, ancaman di perairan negara ini terkawal dengan penempatan kapal-kapal dan bot-bot ronda yang sentiasa ada di kawasan berkenaan sebagai langkah keselamatan," katanya.

Beliau berkata APMM turut menjalin kerjasama dengan Polis Marin Indonesia bagi meningkatkan aktiviti penguatkuasaan. BERNAMA

Artikel Lain