suria

Speaker Kedah Serah Notis Kekosongan DUN Sungai Limau Kepada SPR

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md Rozai Shafian pada Ahad menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Limau, Yan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandang, Tan Sri Azizan Abdul Razak, Khamis lepas.

Notis bersama sijil kematian bekas Menteri Besar Kedah itu diserahkan kepada pengarah SPR Kedah, Juhari Abdul Rahman di pejabat Speaker DUN di Wisma Darul Aman di sini.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Azizan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan notis itu, Md Rozai berkata beliau memberi masa kepada keluarga Allahyarham untuk mendapatkan sijil kematian kerana menghormati keluarganya yang bersedih.

Katanya, penyerahan notis itu adalah mengikut perkara 53 fasal kecil 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang perlu memaklumkan kekosongan kerusi DUN kepada SPR supaya pilihan raya kecil dapat diadakan dalam tempoh 60 hari.

Juhari pula berkata, beliau akan menyerahkan notis itu kepada pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada Ahad supaya suruhanjaya itu boleh mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

Azizan yang memenangi kerusi berkenaan sejak 1995 mempertahankannya bagi penggal kelima pada 2008 dengan mengalahkan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,774 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain