suria

IJN Rekod Remaja 19 Tahun Alami Serangan Jantung

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) pernah merekodkan remaja berusia 19 tahun sebagai individu termuda mengalami serangan jantung akibat faktor pemakanan.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, ketika mendedahkan demikian berkata, masyarakat tidak harus memandang ringan soal pemakanan berkhasiat.

Jika ini tidak diamalkan, ia boleh menyumbang kepada punca kegemukan yang boleh membawa kepada masalah jantung dan angin ahmar (strok).

Selain faktor pemakanan, beliau berkata gaya hidup sihat seperti sering bersenam juga perlu menjadi rutin masyarakat bagi mengekalkan kesihatan yang berpanjangan. Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian 'The Heart Exhibition 2013', oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di sini, Sabtu. Pameran dua hari anjuran IJN dan Yayasan Jantung Malaysia (YJM) itu, diadakan sempena sambutan Hari Jantung Sedunia. Turut hadir Pengerusi dan Pengasas YJM, Datuk Dr J S Sambhi.

Dr Robaayah berkata, tabiat kanak-kanak mengamalkan makanan tidak sihat sehingga menyebabkan obesiti boleh mendedahkan mereka kepada serangan jantung yang membawa maut.

Katanya, meskipun serangan jantung tidak berlaku ketika kanak-kanak, namun ia bersifat progresif dan boleh berlaku apabila mereka mencecah usia remaja. "(Masalah) koronari disebabkan penebalan saluran darah ke jantung, proses itu progresif...mula-mula sikit, makin lama makin bertambah dan bertambah. "Lagi banyak faktor risiko seperti kolestrol tinggi dan berat badan tinggi, lagi cepat ia (serangan) progres. "Ia (risiko) akan bermula masa kanak-kanak. Sebab itu kita kata kena fokus pada gaya hidup (yang betul) dari kecil lagi," tegas beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain