suria

Malaysia Beri Keutamaan Kepada Pendidikan - Idris

KUALA LUMPUR: Pembangunan pendidikan sentiasa menjadi keutamaan Malaysia, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata ini akan membantu Malaysia mencapai sasarannya menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 menerusi modal insan berkualiti.

Sebagai contoh, katanya penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (PPPM 2015-2025) akan memperkukuhkan lagi sektor pendidikan negara supaya sistem penyampaian menjadi lebih efektif dan efisien, sekali gus membawa impak positif kepada negara.

"Nilai-nilai baik yang ditekankan dalam PPPM 2015-2025, termasuk pemikiran kritis, kepimpinan dan kemahiran komunikasi, dan juga bagus dalam pengetahuan am akan dapat menjadi platform dalam mengeluarkan modal insan negara yang kompetitif, kreatif dan berkemahiran dalam menyokong agenda pendapatan tinggi," katanya pada Persidangan Pendidikan Tinggi OIC World Biz 2013 di sini, Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pendidikan Tinggi Swasta) Prof Datuk Dr Roziah Omar. "Malaysia percaya akses kepada pendidikan amat penting. Oleh itu, sistem pendidikan yang dirumuskan perlu menekankan akses kepada pendidikan untuk setiap kanak-kanak tanpa mengira siapa mereka, jantina atau latar belakang sosio ekonomi mereka.

"Pendekatan ini akan dapat memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan pelajar dan masyarakat di Malaysia," kata Idris.

Mengenai persidangan itu, beliau berkata ia akan menjadi gerbang kepada komuniti pendidikan untuk menjalin kerjasama dan perkongsian pengetahuan dalam bidang pendidikan di kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Saya berharap persidangan ini akan menyediakan platform untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dan juga aktiviti yang akan dapat menghasilkan kerangka kerja, strategi dan pelan tindakan untuk pembinaan kapasiti, dan juga, menekankan keperluan untuk memantapkan budaya kecemerlangan dan pendidikan berkualiti di negara anggota dan komuniti OIC," katanya.

Persidangan itu diadakan sempena Persidangan dan Ekspo Zon Perniagaan dan Pelaburan-OIC World Biz 2013.

Ia dihadiri para cendekiawan, pendidik, pentadbir dan pakar pembuat dasar dari negara-negara Islam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain