suria

SPAD Tubuh Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Bas Genting

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menubuhkan Jawatankuasa Inkuiri Kemalangan Bas - Genting bagi meneliti secara terperinci bukti dan laporan berkaitan kemalangan bas di Jalan Genting Highlands yang mengorbankan 37 orang bulan lepas.

Menurut kenyataan SPAD pada Khamis, jawatankuasa itu akan turut mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi mencegah kejadian serupa berulang.

Jawatankuasa ini diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismail susulan arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu insiden itu disiasat dengan terperinci, kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu jawatankuasa turut dianggotai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Kerja Raya dan agensi lain yang dikenal pasti oleh SPAD.

Selain itu SPAD juga akan memberi tumpuan lebih khusus kepada audit keselamatan terhadap pengendali bas henti-henti dan ekspres. - BERNAMA

Artikel Lain