suria

Program E-Pendidikan Genius: Dua Didakwa Bersubahat Perdaya Tiga Lelaki

KUALA LUMPUR: Dua lelaki didakwa bersubahat dengan bekas Ketua Eksekutif Tabung Kebajikan dan Pendidikan Program E-Pendidikan Genius memperdaya dua pengarah serta seorang pemilik syarikat untuk melabur ke dalam tabung kebajikan agensi itu.

Bekas Pengarah Operasi tabung kebajikan itu Hishamsol Othman, 43, didakwa bersubahat dengan Raja Azman Shah Raja Alang Petra, 47, memperdaya pengarah Bakam Suci Sdn Bhd Azlan Arshad dan pemilik Zamrud Enterprise Ng Suat Hon untuk menyerahkan dua keping cek masing-masing bernilai RM100,000 dan RM200,000 kepada tabung kebajikan pendidikan itu.

Bekas koordinator agensi berkenaan Zuraimi Abd Rahim, 39, pula didakwa bersubahat dengan Raja Azman Shah memperdaya Azlan, Ng dan pengarah Syarikat Pink Style Marketing Ahmad Nazim Abu Bakar untuk melabur RM500,000 ke dalam tabung kebajikan itu bagi membolehkan mereka menjalankan kerja bagi Program E-Pendidikan Genius seperti membekal dan memasang kemudahan IT untuk 812 sekolah di Perak, Negeri Sembilan serta Perlis.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat tabung kebajikan berkenaan di tingkat 17, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail di sini antara September 2006 dan 30 Jan 2008 mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang membawa hukuman maksimun penjara 10 tahun dan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Nasir Nordin membenarkan Hishamsol dan Zuraimi masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM9,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Oktober ini untuk sebutan kes.

Mahkamah turut memerintahkan Hishamsol dan Zuraimi dibicara bersama Raja Azman Shah yang berdepan pertuduhan menipu, pecah amanah dan bersubahat membabitkan wang berjumlah RM500,000.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke manakala peguam Ikmal Hisam Idris dan Faizal Mohd Hanafiah masing-masing mewakili Zuraimi serta Hishamsol. -BERNAMA

Artikel Lain