suria

Pemilihan Umno: Jwtkuasa Disiplin & Pemilihan Tiada Kuasa Pinda Kod Etika Berkempen - Megat Najmuddin

PETALING JAYA: Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti diminta tidak mempertikaikan dan menghormati undang-undang pemilihan parti sedia ada.

Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Datuk Megat Najmuddin Megat Khas berkata, syarat dan garis panduan dalam Kod Tataetika Ahli Umno amat jelas dan sudah lama digunapakai.

"Ia (syarat) amat jelas, semua orang Umno sudah tahu...sudah lama.

"Bila ada undang-undang ia mesti dikuatkuasa, kalau tidak dikuatkuasakan tak gunalah ada undang-undang," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada Khamis yang meminta Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno memikirkan dan mengkaji semula syarat berkempen yang didakwa terlalu ketat.

Khairy mendakwa telah menerima banyak aduan daripada calon dan anggota Pemuda Umno mengenai perkara itu.

Dalam konteks ini, Megat Najmuddin berkata Jawatankuasa Pemilihan dan Jawatankuasa Lembaga Disiplin tidak mempunyai kuasa untuk meminda atau meneliti semula syarat dan tataetika yang ditetapkan dalam pemilihan.

Jelasnya, sebarang rayuan atau cadangan pindaan hanya boleh dilakukan melalui Majlis Tertinggi (MT) dan pucuk pimpinan parti.

"Bukan tugas jawatankuasa ini untuk melonggarkan atau ketatkan apa-apa syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Tertinggi parti.

"Kita hanya jalankan siasatan berdasarkan laporan, fakta dan bukti bahawa telah berlaku perbuatan melanggar kod tataetika.

"Kalau mahu kurang ketat atau lebih ketat boleh rayu kepada peringkat tertinggi," katanya.

Selain Khairy, calon-calon lain baru-baru ini turut meminta lebih banyak peluang berkempen dan boleh merayu pengundi.

Perkara ini dibangkitkan apabila calon tidak dibenarkan berkempen bersendirian dan hanya dibenarkan berkempen dan memperkenalkan diri melalui 'road show' yang dianjurkan Ibu Pejabat Umno melalui kerjasama Badan Perhubungan Umno Negeri sahaja.

Garis panduan, Tataetika Ahli Umno telah dikuatkuasakan sejak 2008 bagi mengawal mana-mana pihak berkempen dengan menggunakan wang untuk meraih undi.

Bagi pemilihan kali ini, tidak ada pindaan atau pembaharuan dilakukan terhadap kod tataetika berkenaan.

Artikel Lain