suria

Pemerkasaan Wanita, Kesaksamaan Gender Sumbang Ke Arah Pemulihan Pasca Konflik

KUALA LUMPUR: Memperkasa wanita dan menggalakkan kesaksamaan gender dalam ekonomi serta membuat keputusan akan menyumbang kepada pemulihan pasca konflik, menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta kestabilan politik sesebuah negara, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata konflik sering bersifat pelbagai dimensi dan memerlukan pendekatan yang juga pelbagai dimensi.

Sehubungan itu, katanya, tumpuan harus diberi untuk memperkukuh keselamatan wanita menerusi undang-undang dan peraturan dalam menangani isu pemerkasaan wanita pasca konflik.

"Ini termasuk penubuhan institusi dan jentera bagi merancang, menyelaras, melaksana dan memantau program pembangunan untuk wanita, mempertingkat akses kepada pendidikan dan peluang pekerjaan, membangunkan polisi serta perkhidmatan yang mentediakan peluang kehidupan yang setara kepada wanita," katanya.

Rohani berkata demikian dalam satu kenyataan pada Mesyuarat Peringkat Menteri berkaitan Pemerkasaan Ekonomi Wanita bagi Mewujudkan Keamanan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Kenyataan beliau difaks kepada Bernama di sini, Jumaat.

Beliau berkata program latihan bagi menjana pendapatan yang bakal memberi manfaat besar kepada wanita kerana kemahiran yang diperoleh akan membantu meeka memulakan perniagaan kecil.

"Bagi memastikan kejayaan perniagaan mereka, wanita juga perlu diajar kemahiran kewangan bagi membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih cekap. Program latihan perlu memiliki sasaran khusus," katanya.

Rohani juga berkata satu daripada cabaran utama wanita ketika berdepan konflik ialah kekurangan akses kepada bantuan kewangan. Katanya, golongan ibu tunggal berada dalam situasi yang merugikan kerana mereka perlu mendidik anak dan pada masa sama, terpaksa menjana pendapatan.

Beliau berkata Malaysia memuji dan kekal komited untuk mendukung peranan penting wanita dalam pencegahan serta penyelesaian konflik dan mewujudkan keamanan seperti yang digaris Ketetapan 1325 Majlis Keselamatan PBB (2000).

"Malaysia akan terus bekerjasama dengan PBB serta agensinya bagi mempromosi usaha murni dalam memperkasakan wanita," katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, Malaysia menyambut baik penerimaan Deraf Deklarasi Pemerkasaan Ekonomi Wanita bagi Mewujudkan Keamanan. -BERNAMA

Artikel Lain