suria

Lebih 16,000 Jemaah Haji Malaysia Kini Di Tanah Suci

MAKKAH: Lebih 16,000 daripada 22,320 jemaah Malaysia kini telah berada di kedua-dua tanah suci Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah haji bulan depan.

Pengurus Media Tabung Haji (TH) Mohamad Naser Jaafar berkata jumlah jemaah haji Malaysia di Makkah kini adalah lebih 13,000 orang manakala jemaah yang masih berada di Madinah telah kurang daripada 3,000 orang dan sedang memasuki Makkah secara berperingkat sehingga Sabtu.

"Mulai lusa, semua jemaah haji Malaysia yang berada di Madinah akan berada di Makkah dan TH menyambut lebih 1,000 jemaah haji setiap hari," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

TH mempunyai lapan buah maktab di Makkah untuk menampung sebanyak 22,320 jemaah haji Malaysia musim ini iaitu berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi.

Penerbangan akhir musim haji tahun ini ialah pada 9 Oktober dan hari wukuf di Arafah iaitu hari bermulanya rukun haji ialah pada 14 Oktober. - BERNAMA

Artikel Lain