suria

Kedai Emas Disamun Lima Lelaki Bersenjata

KUANTAN: Sebuah kedai emas di Jalan Tun Razak di bandar Raub, disamun lima lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dalam satu kejadian pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub DSP Azhar Abdul Rahman berkata dalam kejadian 1.04 petang itu, pemilik premis, seorang lelaki berusia 40-an terkejut apabila kedainya didatangi lima suspek dengan seorang daripada mereka mengacu sepucuk pistol.

"Empat suspek memakai topeng ski manakala seorang lagi yang memakai topi keledar mengacukan pistol itu ke arah mangsa. "Suspek mengarahkan mangsa diam sebelum bertindak mengumpil laci barang kemas dengan pemutar skru dan kuku kambing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata suspek kemudiannya mengisi barangan kemas di dalam sebuah beg sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Toyota Camry berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WKP9733.

"Jumlah barangan kemas yang dilarikan dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan," katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. "Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain