suria

Kanak-Kanak Lelaki Maut Dalam Kebakaran di Teluk Intan

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kebakaran membabitkan empat buah rumah di Kampung Teluk Baru Batu 17, Sungai Sumun dekat Teluk Intan.

J. Gerihari Gopa yang berumur setahun dua bulan, ditemui rentung dalam keadaan tertiarap di atas katil di dalam bilik di rumahnya dalam kejadian 3.50 petang itu. "Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama-sama ibunya. Ibu mangsa turut mengalami lecur di beberapa bahagian badan," kata Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Goh berkata kebakaran itu turut menjejaskan 11 orang lagi, namun mereka ini selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. "Pihak bomba dimaklumkan kejadian pada pukul 3.50 petang dan dua jentera bomba dengan 12 anggota digegaskan ke lokasi. Kebakaran dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 5.20 petang," katanya.

Goh berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain