suria

Tian Chua Gagal Ketepi Tuduhan Menghasut

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PRK) Tian Chua gagal mengetepikan tuduhan menghasut yang dikenakan terhadapnya berhubung kenyataan berkaitan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ketika menolak permohonan Tian Chua, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah berkata permohonan itu tidak mempunyai merit.

Katanya, mahkamah menolak permohonan itu kerana mendapati ia tidak mempunyai asas mencukupi dan hanya berdasarkan penegasan yang terkandung di dalam afidavit pemohon.

Beliau berkata, setelah meneliti kenyataan Tian Chua dalam Keadilan Daily yang menyiarkan kata-kata berbentuk hasutan, mahkamah berpendapat tuduhan berkenaan boleh dikenakan terhadap Tian Chua.

"Terpulanglah kepada pihak pendakwa untuk membuktikan perkataan 'kerajaan Umno' merujuk kepada, atau boleh diandaikan merujuk kepada, kerajaan atau kerajaan yang memerintah. Dan perkara ini akan diputuskan mahkamah yang membicarakannya," katanya.

Hakim itu juga berkata hujah Tian Chua bahawa tuduhan yang dikenakan terhadapnya itu bercanggah dengan kepentingan awam dengan alasan beliau berpegang pada aku janji perdana menteri untuk memansuhkan Akta Hasutan, tidak mempunyai merit.

Katanya, mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwa bahawa Akta Hasutan itu masih terpakai dan sebarang percanggahan dengan Akta berkenaan perlu ditangani mengikut undang-undang.

"Walaupun memang benar perdana menteri membuat pengumuman tertentu tentang niat untuk memansuhkan Akta Hasutan, namun selagi Akta itu belum dimansuhkan, ia tetap kekal seperti sekarang iaitu sebagai suatu Akta Parlimen yang sah dan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan peruntukannya merupakan kesalahan yang boleh dikenakan pertuduhan," katanya.

Beliau berkata, pemohon (Tian Chua) masih mempunyai pilihan untuk mengemukakan representasi kepada pendakwa raya sekiranya beliau yakin tuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak patut diteruskan.

"Sekiranya representasi itu tidak berjaya, maka pemohon mestilah membiarkan kes berkenaan diteruskan tanpa sebarang halangan agar keputusan yang wajar dan adil boleh dicapai," katanya.

Peguam, Latheefa Koya yang mewakili Tian Chua memberitahu pemberita bahawa pihak pembela akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.

Tian Chua, yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, 50, memfailkan permohonan berkenaan pada 12 April tahun ini.

Pada 14 Mac, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan membuat kenyataan bahawa pencerobohan di Lahad Datu merupakan satu konspirasi yang dirancang Umno untuk mengalihkan tumpuan dan menakut-nakutkan rakyat.

Mahkamah Sesyen menetapkan 16 dan 17 Okt sebagai tarikh perbicaran kes itu.

Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, dituduh melakukan kesalahan itu di Fraser Business Park di sini pada kira-kira pukul 11 pagi 1 Mac.

Tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1) Akta sama, memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan lima tahun penjara bagi kesalahan berikutnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendawka Raya Mohd Farizul Hassan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain