suria

Rayuan Enam Petisyen Pilihan Raya, Termasuk Machang Didengar 21 Oktober

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Oktober depan untuk mendengar secara serentak rayuan enam petisyen pilihan raya.

Petisyen itu ialah bagi kerusi Parlimen Machang dan Ketereh di Kelantan manakala empat lagi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak iaitu Pasir Panjang, Manong, Selama dan Lubok Merbau.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Razlan Hadri bagi menangguhkan pendengaran rayuan petisyen bagi Machang yang dijadualkan pada Rabu.

Razlan mewakili calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wan Zawawi Wan Ismail yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-13 kepada Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dari Barisan Nasional (BN).

Ahmad Jazlan, yang juga Ketua Umno Bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi.

Razlan membuat permohonan itu atas alasan beliau mahu keenam-enam petisyen didengar bersama-sama kerana membabitkan isu yang sama iaitu locus standi peguam yang mewakili pempetisyen dan responden dalam petisyen pilihan raya mengikut Kaedah 9 dan Kaedah 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Terdahulu, Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Ahmad Jazlan, membantah permohonan itu dan berhujah bahawa Razlan serta tiga lagi iaitu Nizamuddin Hamid, Muhammad Afiq Muhammad Noor dan Ranjit Singh, tidak mempunyai locus standi untuk hadir dan berhujah di Mahkamah Persekutuan hari ini kerana mereka bukan peguam yang dilantik oleh pempetisyen mengikut Kaedah Petisyen Pilihan Raya.

Beliau berkata rekod rayuan menyatakan Hisham Fauzi diterima sebagai peguam pempetisyen.

Hafarizam juga berkata petisyen berkenaan tidak sepatutnya didengar bersama-sama kerana membabitkan isu lain.

Pada 16 Julai lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Kota Baharu menolak petisyen Wan Zawawi bagi membatalkan kemenangan BN di kawasan Parlimen Machang.

Petisyen itu menamakan Ahmad Jazlan, pegawai pilihan raya dan Suruhanjaya

Pilihan Raya (SPR)sebagai responden. Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh mewakili pegawai pilihan raya dan SPR. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain