Pemilihan Umno: Senarai Calon Dimuktamadkan 7 Oktober - Semasa | mStar

Pemilihan Umno: Senarai Calon Dimuktamadkan 7 Oktober

KUALA LUMPUR: Senarai calon yang layak bertanding bagi semua peringkat pada pemilihan Umno bulan depan hanya akan dimuktamadkan pada 7 Oktober.

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Tan Sri Tajol Rosli Ghazali hanya mengumumkan 269 calon yang menarik diri sahaja, daripada 34,211 anggota Umno yang mendaftar sebagai calon di seluruh negara kecuali Sarawak, Sabtu lepas.

Pengumuman itu dibuat di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, susulan tamatnya "tempoh bertenang" 72 jam semalam, bagi membolehkan proses penarikan diri calon yang berdaftar berlangsung.

Selepas ini, proses saringan seterusnya membabitkan antara lain Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan mahkamah akan dilakukan. Setakat ini, baki 33,942 calon layak bertanding di peringkat pusat dan bahagian serta ketiga-tiga sayap parti selepas ditolak mereka yang menarik diri.

Langkah itu bertujuan mengesan mereka yang berkemungkinan dibatalkan pencalonan kerana menghadapi situasi seperti muflis, kes rasuah, kes mahkamah atau jenayah, sebelum senarai calon dimuktamadkan.

Pengundian bagi pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan pusat akan berlangsung pada 12 Oktober manakala pengundian bagi bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober.

Di peringkat pusat (termasuk ketiga-tiga sayap), hanya seorang sahaja calon daripada 261 calon iaitu Ketua Penerangan Wanita Datuk Hamidah Osman yang mendaftar untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita telah menarik diri.

Di peringkat bahagian (termasuk ketiga-tiga sayap), sebanyak 268 calon menarik diri daripada 33,950 calon berdaftar.

Berikutan perkembangan pada Rabu, calon naib presiden masih kekal menyaksikan pertandingan enam penjuru, ketua Pemuda lima penjuru, ketua Wanita tiga penjuru dan ketua Puteri satu lawan satu.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing, menang tanpa bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.

Setakat ini, Naib presiden ditandingi tiga penyandang iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta tiga pencabar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Bagi ketua Pemuda, penyandang Khairy Jamaluddin ditentang oleh Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Karim Ali, Syed Rosli Syed Harman dan Irwan Ambak Khalid Izhar.

Ketua Wanita sekarang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disaingi oleh Datuk Maznah Mazlan dan Raihan Sulaiman Palestin manakala dua muka baharu Mas Ermieyati Samsudin dan Jamilah Hanim Othman merebut jawatan ketua Puteri.

Tajol Rosli berkata bagi peringkat negeri, pihaknya menerima 33,950 borang pencalonan, dengan Sabah mencatatkan penyertaan terbanyak iaitu 4,453 calon.

Ia diikuti Johor (4,250), Selangor (4,035), Perak (3,983), Kedah (2,848), Pahang (2,628), Kelantan (2,595), Wilayah Persekutuan (2,123), Pulau Pinang (1,960), Terengganu (1,540), Negeri Sembilan (1,436), Melaka (1,193) dan Perlis (638).

Mereka yang menarik diri terdiri daripada 37 calon dari Selangor, Perak (35), Pulau Pinang (32), Kelantan (30), Negeri Sembilan dan Pahang (29), Wilayah Persekutuan (19), Melaka (17), Kedah (16), Terengganu (15), Sabah (6), Perlis (2) dan seorang dari Johor.

Buat pertama kalinya, proses pemilihan yang lebih telus dan melibatkan sejumlah 146,500 perwakilan di peringkat akar umbi diadakan berikutan pindaan perlembagaan parti pada 2009.

Langkah itu bertujuan antara lain membanteras gejala politik wang dan menjadikan parti itu lebih inklusif dengan pembabitan lebih ramai perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan parti berbanding kira-kira 2,500 perwakilan sebelum ini.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain