suria

Pemilihan Parti: Calon Kempen Bersendirian Langgar Tataetika

KUALA LUMPUR: Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti diingatkan supaya tidak berkempen atau memperkenal diri mereka secara persendirian.

Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Malaysia Tan Sri Megat Najmuddin berkata setiap calon yang bakal bertanding hanya boleh berkempen melalui Ibu Pejabat Umno dan Badan Perhubungan Umno Negeri.

"Calon-calon tak boleh berkempen secara bersendirian, setakat nak beri 'business card' bolehlah tapi tak boleh berkempen dan tak dibenarkan beri janji-janji atau manifesto secara persendirian.

"Semua calon perlu berkempen melalui 'road show' yang dianjurkan Ibu Pejabat Umno melalui kerjasama Badan Perhubungan Umno Negeri," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Beliau berkata setiap perkara yang termaktub di dalam Tataetika Ahli Umno adalah terpakai dalam tempoh pemilihan Umno bagi sesi 2013-2016.

"Tak ada perkara baharu dalam tataetika kempen.

"Ada perkara yang boleh dibuat tapi mestilah dengan cara yang dihalalkan...tapi masih tidak boleh berkempen secara melulu, tak boleh buat fitnah," katanya.

Mengulas mengenai kempen melalui media sosial seperti di laman Facebook, Twitter dan seumpamanya, beliau berkata ia dibenarkan dengan syarat tidak menyerang peribadi calon lain.

Katanya kaedah berkempen melalui media sosial tidak boleh dihalang dan agak sukar dikawal pada masa kini.

"Kempen di media sosial susah sikit nak kawal tapi jangan berkempen mengata orang, fitnah orang, buat janji mengelirukan.

"Kalau nak buat sidang media boleh, tapi mestilah melalui ibu pejabat atau Badan Perhubungan Umno," katanya.

Bagaimanapun katanya calon-calon boleh mengadakan sidang media mengenai kementerian di bawahnya.

Katanya, mana-mana ahli Umno yang melakukan kesalahan-kesalahan melanggar tataetika boleh dikenakan mana-mana hukuman di bawah Fasal 20.9(a)-(e) Perlembagaan Umno.

Calon-calon dilarang memberi rasuah atau sokongan politik, menggunakan kekerasan dan ugutan, menerbit, menggunakan media massa, elektronik atau internet, memfitnah, menjadi ejen, melobi, mengurus kempen, mengadakan majlis dan pertemuan, memberi derma kepada parti serta membuat pernyataan akhbar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain