suria

Lebih 500,000 Pengguna Di Sabah, Labuan Alami Gangguan Elektrik

KOTA KINABALU: Lebih 500,000 pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mengalami gangguan bekalan elektrik secara berkala mulai Rabu berikutan kerosakan Stesen Janakuasa Bebas (IPP) Teesa dan IPP Rugading.

Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Abdul Razak Salim berkata gangguan itu disebabkan kerja membaik pulih kerosakan di tiga jentera janakuasa utama Sabah.

Beliau berkata sesetengah kawasan atau daerah akan mengalami gangguan bekalan secara maksimum selama tiga jam secara bergilir dari 8 pagi hingga 8.30 malam.

Katanya, satu letupan kecil berlaku di IPP Teluk Tesa yang menyebabkan Kompartmen Turbin GT22 mengalami kerosakan pagi Rabu, dan empat jam kemudian, IPP Rugading turut mengalami kerosakan diikuti kebakaran di Stesen Janakuasa ARL di Sepanggar.

Abdul Razak berkata berikutan insiden itu, Grid Sabah mengalami gangguan bekalan sebanyak 200 megawatt dan ini memaksa SESB melakukan catuan bekalan.

"Gangguan itu dijangka berlanjutan selama sebulan," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, Rabu.

Beliau berkata kapasiti bekalan di seluruh Sabah ialah 980 hingga 1,000 megawatt manakala Permintaan Maksimum merekod sejumlah 874 megawatt pada waktu puncak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain