suria

KP Esscom Arah Pegawai Segera Kesan Dalang Penyebar Maklumat Palsu

LAHAD DATU: Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek mengarahkan pegawai Esscom untuk segera mengesan dalang di sebalik penyebaran maklumat palsu yang cuba menakut-nakutkan rakyat Sabah, khususnya mengenai ancaman terkini di kawasan Lahad Datu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu.

Mohammad menegaskan keadaan di Lahad Datu adalah seperti biasa dan terkawal, dan tidak berlaku sebarang cubaan pihak tertentu (pengganas) untuk memasuki perairan negeri ini.

"Itu cuma khabar angin dan propaganda. Perairan kita sentiasa diawasi dan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dan pertahanan kita," katanya kepada Bernama, Khamis.

Mohammad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu yang meminta orang ramai khususnya masyarakat di Sabah supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebar sejak Selasa mengenai ancaman terkini di Lahad Datu.

Khalid juga dipetik sebagai berkata bahawa desas-desus polis telah mengeluarkan arahan perintah berkurung di Lahad Datu adalah tidak benar sama sekali.

Sehubungan itu, Mohammad menasihati orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin itu dan mahu mereka sentiasa mendapatkan pengesahan daripada Esscom atau balai polis berhampiran berhubung perkara itu.

"Pihak Esscom juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya," katanya.

Mohammad, sebelum ini mengumumkan pembukaan Bilik Gerakan keselamatan Esscom sebagai sebahagian daripada usaha untuk memantapkan lagi pertahanan dan keselamatan rakyat negeri Sabah.

Bilik Gerakan yang berpusat di Lahad Datu itu beroperasi 24 jam setiap hari dan orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat, membuat aduan atau pertanyaan boleh menghubungi talian 089-863181 atau faks 089-863182. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain