suria

Hanya MT Boleh Pinda Kod Tataetika - Megat Najmuddin

KUALA LUMPUR: Sebarang pindaan dalam Kod Tataetika ahli Umno hanya boleh dilakukan diperingkat Majlis Tertinggi (MT) parti.

Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata beliau hanya menjalankan tugas seperti yang diamanahkan oleh parti.

"Kalau mereka (ahli) hendak pinda kod tataetika kena tunggu pemilihan akan datang. Itu bidang kuasa MT.

"Lembaga Disiplin hanya menguatkuasakan garis panduan yang telah digunapakai sejak 2008. Kod Tataetika ini berkuatkuasa sejak 15 Julai lalu hingga hari pemilihan.

"Setakat ini, tidak ada perubahan. Inilah amalan demokrasi sebab itu kita ada pertandingan," katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai senarai calon yang layak bertanding pada pemilihan Umno kali ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Rabu.

Sementara itu, Megat Najmuddin berkata sekiranya ada aduan diterima mengenai politik wang, Lembaga Disiplin akan segera melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kalau ada unsur-unsur jenayah kita terpaksa buat laporan kepada SPRM.

"Saya sendiri merupakan ahli lembaga pengarah SPRM dan kita tidak akan beri muka kepada mereka ysng terlibat dengan politik wang dalam parti," katanya.

Baru-baru ini calon pemilihan Umno mahu lebih banyak peluang berkempen dan merayu pengundi diberikan tanpa melanggar kod etika, namun lembaga disiplin parti telah memberi amaran mereka tidak akan bertoleransi dengan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan.

Garis panduan, Tataetika Ahli Umno telah dikuatkuasakan sejak 2008 bagi mengawal mana-mana pihak berkempen dengan menggunakan wang untuk meraih undi.

Antara garis panduan yang ditetapkan ialah melarang, mana-mana calon atau pihak mengadakan majlis keraian untuk membeli undi bagi mengelakkan politik wang dalam parti itu.

Bagaimanapun calon yang bertanding membantah tindakan tersebut kerana mereka mahukan kempen yang lebih fleksibel dan terbuka kerana jumlah perwakilan yang akan mengundi pada pemilihan kali ini telah meningkat daripada 2,500 kepada 146, 000 orang mengikut sistem pemilihan baru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain