suria

Tindakan Terhadap Calon Jika Terdapat Laporan Jelas

KUALA LUMPUR: Calon-calon yang melanggar tataetika akan dikenakan tindakan tetapi laporan perlu dibuat secara jelas terhadap mereka.

Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Megat Majmuddin Megat Khas berkata laporan yang jelas perlu dikemukakan bagi membolehkan Jawatankuasa Disiplin bertindak melakukan siasatan.

"Kalau (calon) langgar etika, mesti ada laporan yang sah.

"Kalau hanya cakap-cakap kedai kopi sahaja tak boleh, kena ada laporan yang tunjukkan bila, tarikh, masa dan di mana," katanya pada sidang media Pemilihan Umno 2013, di sini, Rabu.

Megat Najmuddin berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak dan calon tertentu yang didakwa berkempen secara persendirian dan juga di laman Facebook baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihaknya masih tidak menerima sebarang laporan sama ada mengenai tataetika calon.

Dalam pada itu beliau turut mengulas mengenai dakwaan wujudnya calon proksi dalam pemilihan kali ini.

"Sekiranya proksi jelas melanggar tataetika dan jelas merupakan proksi kepada calon, tindakan akan diambil, tapi kena ada laporan," jelasnya.

Mengenai tiga calon penyandang naib presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal yang menjadi pencadang antara satu sama lain, beliau berkata perkara itu juga tidak melanggar tataetika pemilihan.

Sementara itu Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Raof Yusoh berkata Ibu Pejabat Umno mempunyai pasukan pemantau yang memantau pergerakan calon.

Katanya, pasukan tersebut akan bertindak berdasarkan maklumat pemantauan dan laporan.

"Sekiranya pemantau memberi maklumat di samping laporan yang diterima, tindakan akan diambil," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain