suria

Permohonan Injunksi Halang Pemilihan Semula CEC Diputus Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan memutuskan Jumaat ini permohonan injunksi oleh seorang anggota DAP bagi menghalang parti itu mengadakan pemilihan semua anggota jawatan kuasa eksekutif pusat (CEC), Ahad ini.

Hakim Datuk Rosnaini Saub turut menetapkan tarikh sama bagi memutuskan permohonan parti itu bagi membatalkan saman Naib Pengerusi DAP Ladang Paroi David Dass Aseerpatham yang mencabar pemilihan semula CEC berkenaan.

DAP menetapkan Ahad ini untuk pemilihan semula CEC parti selepas diarah berbuat demikian oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mahkamah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo yang mewakili Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta parti itu yang dinamakan sebagai defendan manakala Dass diwakili K. Harikrishnan.

Dass, yang memfailkan saman itu pada 10 September lepas, turut memohon satu deklarasi bahawa pemilihan parti hanya boleh diadakan menerusi kongres kebangsaan, dan DAP perlu memberi notis 10 minggu bagi mengadakan pemilihan parti serta notis kongres khas bertarikh 4 September adalah batal dan tidak sah.

Beliau mendakwa DAP perlu memaklumkan anggotanya 10 minggu sebelum mengadakan pemilihan parti dan ia perlu mengadakannya menerusi kongres kebangsaan dan bukan kongres khas.

Terdahulu, Karpal berhujah mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan saman itu dan mendengar sebarang saman, permohonan, isu perundangan atau prosiding atas sebarang alasan berkaitan kesahihan keputusan itu mengikut peruntukan Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966.

Beliau berkata seksyen itu menyatakan bahawa keputusan mana-mana parti politik berkaitan hal ehwal parti berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dipertikai.

Katanya, ROS mengarahkan agar pemilihan semula CEC diadakan dan defendan mematuhi arahan itu berdasarkan perlembagaan DAP.

Karpal juga berkata tujuan Seksyen 18(c) Akta Pertubuhan 1966 digubal adalah jelas iaitu untuk mengecualikan bidang kuasa mahkamah daripada mendengar merit mana-mana pertikaian antara anggota sesebuah parti politik.

Sementara itu, Harikrishnan berhujah Seksyen 18 (c) tidak terpakai keranan arahan agar pemilihan CEC DAP diadakan semula bukan dibuat oleh parti berkenaan tetapi oleh ROS.

Beliau juga berkata terdapat isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah.

Sehubungan itu, beliau meminta mahkamah menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman berkenaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain