suria

Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Pejabat Pos Terima Komponen Pistol Angin

BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan komponen pistol angin di dalam sebuah kotak yang diterima Pejabat Pos Butterworth, Bagan Dalam pada Isnin.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang ACP Nasir Salleh berkata lelaki berusia 30-an itu ditahan di rumahnya di George Town, dekat sini malam Isnin.

"Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengesan penghantar kotak berkenaan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Katanya berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh setakat ini, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh terdekat.

"Siasatan kita mendapati komponen yang dipos kepada penerima di Pulau Pinang itu boleh menghasilkan senjata api untuk menghasilkan letupan," katanya.

Nasir berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Dalam kejadian 10 pagi itu, petugas Pejabat Pos Butterworth, Bagan Dalam di sini gempar apabila menemui beberapa komponen pistol angin ketika membuat pemeriksaan selepas curiga dengan kandungan sebuah bungkusan yang diterima.

Bungkusan itu yang dipos dari Amerika Syarikat mencatatkan 'dictionary' (kamus) namun pemeriksaan polis menemukan komponen pistol angin iaitu tiga unit kapsul dan 'ball-bearing' (galas bebola), bukan kamus seperti yang diisytihar oleh pengirimnya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain