suria

Transisi Dari Puteri Ke Wanita Masih Perjuangan Parti - Rosnah

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, transisi beliau dari sayap itu ke pergerakan Wanita masih berlandaskan perjuangan parti.

Beliau berkata, penghijrahan ahli-ahli Puteri ke dalam pergerakan Wanita bukan sahaja mengisi jawatan-jawatan penting tetapi juga menyumbang tenaga mereka.

"Puteri adalah satu organisasi di mana harapan kita adalah melatih pemimpin-pemimpin muda untuk kita persembahkan kepada Wanita Umno supaya mereka boleh meneruskan kematangan mereka sebagai pemimpin.

"Transisi itu berjalan dengan baik kerana yang penting adalah perjuangan kita untuk parti. Wanita dan Puteri adalah sama saja, kita adalah pejuang untuk parti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Pergerakan Puteri Umno di sini, Selasa.

Turut hadir Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh.

Rosnah yang akan melepaskan jawatan Ketua Puteri menawarkan diri bertanding jawatan Exco Wanita pada pemilihan parti Oktober ini.

"Saya menawarkan diri kerana ingin menjadi barisan kepimpinan Wanita untuk meneruskan perjuangan saya dalam parti kerana saya orang muda, saya bukan lahir dari kalangan politik tetapi saya diperkenalkan dengan Umno... dan saya akan berjuang bersama-sama Umno dan Barisan Nasional untuk rakyat dan kesejahteraan negara kita," katanya.

Mengenai penerimaan Wanita Umno, Rosnah berkata, beliau telah pergi ke negeri-negeri untuk bertemu dengan para perwakilan.

"Saya tidak mahu dilihat sebagai sombong atau bongkak. Alhamdulillah penerimaan mereka terhadap saya begitu baik sekali.

"Kepimpinan Wanita di peringkat bahagian menerima saya dengan tangan terbuka. InsyaAllah sekiranya diberikan mandat saya akan menyumbang dalam kapasiti yang saya ada untuk pergerakan Wanita," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Wanita bahagian kerana memberi laluan mudah kepada beliau untuk menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Wanita Umno Papar.

"Saya kira itu adalah hasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi Wanita kepada mantan-mantan pemimpin Puteri," katanya.

Artikel Lain