suria

Shahrizat Hadapi Apa Yang Rafidah Lalui Dulu

Maznah Mazlan
Maznah Mazlan
Maznah Mazlan

KEHADIRAN Datuk Maznah Mazlan dalam gelanggang perebutan jawatan Ketua Wanita Umno ternyata mengubah corak permainan dalam sayap pergerakan itu.

Setidak-tidaknya laluan selesa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan mempertahankan kedudukannya selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said menarik diri sebelum gelanggang dibuka kini menjadi sedikit berliku.

Sebenarnya penyertaan mengejut Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah di saat-saat akhir iaitu kira-kira 20 minit sebelum kaunter penyerahan borang pencalonan ditutup pada pukul 5 petang Sabtu lalu seakan memberi nafas baru kepada Wanita Umno.

Diakui sendiri oleh ahli pergerakan itu, saingan tiga penjuru yang dihadapi Shahrizat pada pemilihan kali ini berjaya meningkatkan kembali kehangatan pertandingan dalam Wanita Umno.

Ramai yang melihat jika Maznah tidak menawarkan diri bertanding, ia seolah-olah memberi gambaran yang tidak baik kepada imej sayap itu sendiri terutamanya mengenai kesediaan wanita menghadapi cabaran.

Seperti kata Maznah, kehadirannya bertujuan mempelbagaikan pilihan kepada ahli Wanita Umno memilih pemimpin untuk sepenggal akan datang dan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti yang dilihat lebih mencabar.

Tanpa merendah-rendahkan mana-mana pihak, Maznah menawarkan diri sebagai calon alternatif dengan matlamat untuk menyatupadukan Wanita Umno di semua peringkat termasuk memperkuatkan sayap itu supaya dihormati dan tidak diperlekeh oleh sesiapa.

Lawan Ketua

Di kem Shahrizat, cakap-cakap mula kedengaran kononnya keputusan Maznah sebagai tindakan berlawanan dengan kehendak akar umbi apabila ia dilihat sebagai perbuatan menentang ketua sendiri.

Mana tidaknya, Maznah yang juga kini berada dalam Exco Wanita di bawah kepimpinan Shahrzat dikatakan tidak sepatutnya mengambil langkah itu yang berkemungkinan akan mencetuskan bibit-bibit perpecahan.

Namun untuk rekod, kedudukan Shahrizat sekarang ini juga berlaku akibat daripada tindakannya menentang bekas Ketua Wanita ketika itu, Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan parti itu 2009.

Shahrizat yang ketika itu adalah Naib Ketua Wanita membuat penawaran yang serupa iaitu demi penyatuan Wanita Umno khususnya selepas tsunami politik yang berlaku pada Pilihan raya Umum 2008.

Malah sebelum itu juga kedudukan Ketua wanita Umno pernah menjadi rebutan apabila Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman menewaskan Rafidah dengan majoriti 27 undi pada pemilihan Umno 1996.

Pada pemilihan parti pada 2000 kedudukan nombor satu sayap itu sekali lagi menyaksikan pertandingan apabila menyaksikan Rafidah memenangi semula kerusi itu.

Kali ini Maznah tampil membuat penawaran yang serupa. Tapi kali ini Maznah masuk ke gelanggang dengan harapan mahu meningkatkan imej wanita supaya tidak diperlekehkan oleh sesiapa sama ada di dalam mahupun di luar Umno.

Tanpa memperlekehkan mana-mana pihak khususnya Shahrizat, Maznah yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berulang kali menolak soalan-soalan nakal yang mengaitkan kononnya wujud masalah dalam sayap pergerakan itu.

"Setiap sesuatu perkara itu ada ruang untuk dipertingkatkan. Saya percaya dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang juga ada ruang lain boleh ditingkatkan. Kita mesti berfikiran luas dan terbuka," kata Maznah.

Menurut Maznah lagi, tindakannya tidak seharusnya ditafsirkan sebagai sesuatu yang luar biasa kerana pindaaan Perlembagaan Umno sememangnya membuka ruang kepada ahli untuk menawarkan diri berkhidmat kepada parti.

"Tuduhan bahawa tindakan ini bertentangan dengan hasrat pucuk pimpinan adalah tidak tepat. Saya ingin tegaskan pada masa ini Umno sedang melalui proses transformasinya yang memberi ruang kepada ahli untuk menawarkan diri.

"Saya hanya menyahut seruan tersebut. Saya berharap saya dapat menyatukan wanita kerana kita adalah tulang belakang kepada Umno dan BN. Kita perlu meningkatkan imej wanita supaya kita dihormati akar umbi," katanya.

Ada Sokongan

Walaupun tidak berunding dengan mana-mana pihak termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, penyertaannya kini mendapat restu Badan Perhubungan Umno Negeri.

Malah hingga kini beberapa sumber Wanita Umno negeri turut menyatakan sokongan kepada mengenai pencalonan Maznah.

Kebanyakan Wanita negeri mula membuat pertimbangan semula mengenai siapa calon yang lebih layak diangkat sebagai Ketua Wanita Umno.

"Datuk Maznah kita anggap sebagai game changer dalam pemilihan kali ini. Sebelum ini perwakilan mungkin sudah membulatkan tekad mengenai pilihan mereka.

"Tapi kehadirannya kini membuatkan kita berfikir semula mengenai keputusan yang sudah dibuat," kata salah seorang pemimpin wanita Umno dari Pulau Pinang.

Maznah mungkin tidak sepopular Shahrizat yang di peringkat akar umbi.

Namun itu tidak bermakna Maznah tidak boleh dipertimbangkan sebagai salah seorang calon yang berupaya menerajui kepimpinan Wanita Umno berdasarkan pencapaiannya dalam parti dan kerajaan.

Sebelum proses pengundian berlangsung pada 12 Oktober depan, perwakilan Wanita Umno yang layak mengundi mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada mahu mengekalkan penguasaan Shahrizat untuk sepenggal akan datang atau memberi peluang kepada calon lain seperti Maznah atau calon muka baru iaitu Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kulim Bandar Baharu, Raihan Sulaiman Palestin.

Artikel Lain