'Saya Mahu Jadikan Rasuah Perkara Berlalu, Bukan Amalan Masa Depan Bagi Malaysia' - PM - Semasa | mStar

'Saya Mahu Jadikan Rasuah Perkara Berlalu, Bukan Amalan Masa Depan Bagi Malaysia' - PM

SAN FRANCISCO: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau ingin menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia, bukan suatu amalan pada masa akan datang.

Berucap pada Syarahan Kelab Komanwel di sini Isnin, Najib berkata langkah itu bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan.

"Saya sudah mewujudkan peranan menteri tadbir urus dan integriti dalam Kabinet yang disandang bekas presiden Tranparency International cawangan Malaysia," katanya.

Najib berkata kerajaan pimpinan beliau menaikkan kedudukan agensi pencegahan rasuah Malaysia - yang setiap tahun perlu menghadap jawatankuasa khas parlimen mengenai rasuah, sebuah lembaga penasihat bebas dan sebuah jawatankuasa aduan - ke taraf sebuah suruhanjaya bebas pengaturan kendiri.

"Kami berharap suruhanjaya ini boleh menjadi contoh untuk negara lain yang sedang berusaha untuk membina keupayaan institusi bagi memerangi rasuah," katanya.

Sesungguhnya, kata beliau, mata wang paling penting bagi pentadbiran dan perniagaan ialah kepercayaan.

"Jika kita dapat menunaikan janji kita kepada rakyat - dalam hal ini, kesungguhan untuk memerangi rasuah - dan melaksanakannya dari semasa ke semasa, maka nilai mata wang itu akan dipandang tinggi.

"Ganjarannya bukan sekadar mempunyai persekitaran perniagaan yang lebih terbuka dan telus, dengan pasaran yang lebih bertenaga dan peluang yang lebih meluas, tetapi juga memperoleh kepercayaan baharu tentang kemampuan kerajaan mengubah keadaan menjadi kepada yang lebih baik," katanya.

Najib berkata banyak ekonomi yang terjejas oleh rasuah dan menyebabkan usaha gigih seseorang individu menjadi punah-ranah dan merosakkan kesepaduan sosial.

Katanya rasuah bukan sahaja boleh meranapkan peluang meritokrasi, tetapi juga melenyapkan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kuasa sesebuah negara dan oleh itu, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila ia sering disebut sebagai faktor di sebalik munculnya 'Arab Spring'.

Terdahulu, Najib berkata jurang antara penduduk bandar dan luar bandar kini semakin lebar.

Katanya akibat disekat daripada menikmati peluang ekonomi, terlalu ramai rakyat Asia tidak mempunyai capaian terhadap prasarana asas untuk kehidupan - sanitasi, penjagaan kesihatan dan perumahan.

"Sekiranya kita tidak memberi peluang kepada semua rakyat kita untuk memainkan peranan berhubung masa depan rantau itu, kita menghadapi risiko menggalakkan tercetusnya ketegangan etnik, pelampau agama dan ketidakstabilan politik.

"Ini seterusnya akan menyekat tercapainya objektif kita : sebuah Asia yang lebih makmur dan harmoni.

"Oleh itu, kita perlu pastikan pembangunan melahirkan peluang ekonomi untuk semua, bukan memberi kekayaan hanya untuk segelintir manusia; yang bukan sekadar meningkatkan angka nominal KDNK, tetapi juga infrastruktur sosial yang amat penting.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia kini menjadi medan strategik bagi pasaran kewangan Islam global.

Bagi pelabur yang menerima akibat daripada krisis kewangan di pasaran Barat, bon Islam menawarkan model pertumbuhan alternatif untuk mereka, katanya.

Beliau berkata tiada pelaburan yang tidak mempunyai risiko dan pasaran yang boleh dikatakan masih muda ini juga sudah tentu kadangkala turut mengalami masalah dalam pertumbuhannya.

"Tetapi, berdasarkan sifat semula jadinya, kewangan Islam tidak terdedah kepada pembaziran yang telah merosakkan ekonomi dunia kerana ia tidak membenarkan spekulasi dan melarang faedah, manakala pulangan hanya dikira berdasarkan perkongsian keuntungan," katanya.

Oleh itu, tegas beliau, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila sukuk muncul sebagai instrumen kewangan yang paling pesat berkembang di dunia.

Beliau berkata 10 tahun lepas, Malaysia menerbitkan sukuk kedaulatan atau bon pematuhan syariah pertama di dunia dan kini ia menguasai hampir tiga suku daripada keseluruhan pasaran global serta meningkatkan penyertaan orang ramai melalui penerbitan bon runcit.

"Ini adalah antara cara untuk meningkatkan penyertaan dalam ekonomi, mengukuhkan ekonomi kami secara menyeluruh dan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk turut mengecapi hasil daripada kejayaan negara kami," kata Najib. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

Artikel Lain