MELAKA: Baddrul Hissham Abdul Aziz menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu menentang penyandang yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Pemilihan UMNO Melaka, Tan Sri Ahmad Nordin berkata Baddrul Hissham, 45, yang juga anggota Umno cawangan Tok Suboh telah menyerahkan surat penarikan dirinya dua hari lepas. "Benar beliau (Baddrul Hissham) sudah hantar surat (tarik diri), sekarang hanya Datuk Idris Haron calon tunggal bagi jawatan Ketua Bahagian Tangga Batu," katanya, Selasa.Idris dan Baddrul Hissham telah menyerahkan borang pencalonan bagi bertanding jawatan ketua bahagian itu semasa proses pendaftaran bagi pemilihan Umno di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Sabtu lepas.Ditanya sama ada Idris menang tanpa bertanding bagi jawatan itu dengan penarikan diri Baddrul Hissham, Ahmad berkata : "Itu hanya ibu pejabat (UMNO) yang boleh tentukan,".Ahmad berkata surat Baddrul Hissham itu hanya satu-satunya surat penarikan diri diterima jawatankuasa pemantau itu."Sehingga pukul 12 tengah hari tadi kita tidak terima surat (penarikan diri) lain bagi negeri Melaka, selain surat Baddrul Hissham itu," katanya.Beliau juga berkata ibu pejabat Umno akan menentukan senarai calon yang bertanding pada pemilihan kali ini bagi negeri Melaka."Kita masih menunggu arahan dan maklumat daripada ibu pejabat siapa yang layak atau tidak, dan juga bila hendak diumumkan. Harap semua calon bersabar," katanya.Melaka mempunyai enam bahagian UMNO dan dengan penarikan diri Baddrul Hissham itu hanya empat bahagian iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Bukit Katil dan Jasin akan menyaksikan pertandingan bagi jawatan ketua bahagian.Exco Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Melaka Datuk Latiff Tamby Chik menang tanpa bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Melaka. - BERNAMA