suria

MKN Sedia 4,900 Pusat Pemindahan Bagi 1.3 Juta Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenal pasti 4,900 pusat pemindahan yang mampu menempatkan 1.3 juta mangsa banjir yang dijangka melanda November ini hingga Januari depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata persediaan awal dan rapi sudah dibuat khususnya di negeri yang terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak berikutan fenomena Monsun Timur Laut.

"Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), negeri-negeri berkenaan dijangka menerima hujan melebihi 500 milimeter selain intensiti hujan yang tinggi turun dalam masa singkat dan keadaan air pasang akan memungkinkan banjir berlaku," katanya kepada pemberita, Selasa.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan majlis taklimat bersama MKN, MET, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pendidikan serta wakil dari agensi berkaitan berhubung bencana alam di bangunan Parlimen di sini.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan yang relevan dan pasukan badan beruniform sekolah akan turut menjadi 'rakan MKN' bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Mengulas keanggotaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Shahidan berkata pengumuman mengenainya dijangka dibuat pada Rabu.

Secara am, beliau berkata anggota yang dicadangkan Barisan Nasional tidak berubah namun terdapat perubahan di pihak pembangkang.

"Nisbah yang ditetapkan adalah sama seperti sebelum ini, iaitu berdasarkan kerajaan yang memerintah sebagai majoriti, dan ini tidak termasuk Speaker kerana beliau dipilih untuk memberi keadilan kepada semua pihak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain