suria

Kerajaan Tidak Akan Tandatangani TPPA Jika Bebankan Rakyat - Mustapha

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan menandatangani Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya ia akan membebankan rakyat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamad berkata, kerajaan akan sentiasa mendengar pandangan rakyat dan akan membincangkan setiap implikasi perjanjian tersebut bersama semua Ahli Parlimen.

"Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk tidak meneruskan perjanjian itu jika ia membebankan rakyat dan kita akan mendengar setiap pandangan dari semua Ahli Parlimen dari Barisan Nasional dan Pembangkang.

"Keputusan untuk menandatangani perjanjian ini merupakan perkara besar dan kita tidak akan memaksa rakyat jika rakyat tidak setuju.

"Kerajaan akan pastikan beberapa isu sensitif tidak akan termasuk dalam perjanjian tersebut seperti kepentingan hak bumiputera," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Dr. Markus M. Mojigoh (BN-Putatan) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mustapha menjelaskan, perjanjian tersebut juga masih dalam perbincangan dan peringkat kajian bagi memastikan ianya benar-benar memberi kelebihan buat ekonomi negara.

Katanya, selepas kajian dibuat pihak Kerajaan sendiri yang akan menetapkan syarat dan Malaysia tidak akan terikat dengan syarat negara lain.

"Setakat ini tiada persetujuan yang telah dibuat kerana ia masih dalam perbincangan bersama pemimpin-pemimpin negara yang ingin membuat perjanjian tersebut.

"Kerajaan yang akan merangka syarat dan kita tegaskan bahawa kita tidak akan tunduk kepada mana-mana tuntutan negara luar selepas menandatanganinya.

Sebelum ini, beberapa pihak secara lantang membantah dan mendesak Kerajaan Malaysia untuk menangguhkan keputusan menandatagani perjanjian TPPA kerana dikhuatiri akan membebankan negara dan rakyat.

Perjanjian TPPA dirundingi antara Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. Seperti North America Free Trade Agreement (NAFTA) yang dianggotai oleh AS, Kanada, dan Mexico.

Artikel Lain