suria

Keadaan Jerebu Akibat Cuaca Kering Berubah Dalam Tempoh Singkat

KUALA LUMPUR: Peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan serta keadaan cuaca yang agak kering tiga hari lepas mengakibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kuching, Sarawak dilanda jerebu.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, keadaan itu dijangka berlaku untuk tempoh yang singkat sahaja.

"Ini memandangkan corak tiupan angin dijangka akan berubah dalam tempoh tiga ke empat hari akan datang, iaitu angin barat laut dengan kelajuan sederhana yang akan bertiup di sebelah utara Semenanjung.

"Angin barat daya dengan kelajuan sederhana akan bertiup di bahagian tengah dan selatan Semenanjung dan Sarawak," menurut kenyataan itu.

Menurut jabatan itu, keadaan tiupan angin berkenaan dijangka membawa hujan terutamanya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung dan beberapa bahagian di Sarawak.

Malaysia masih lagi mengalami monsun barat daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September ini, menurut kenyataan jabatan itu. - BERNAMA

Artikel Lain