suria

Kastam KLIA Gagalkan Cubaan Seludup Lebih 15kg Dadah

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan empat cubaan menyeludup dadah dengan berat keseluruhan 15.366 kilogram bernilai RM2.919 juta dalam tempoh seminggu sejak Rabu lepas.

Pengarahnya Datuk Chik Omar Chik Lim berkata mereka turut menahan empat suspek warga asing termasuk seorang wanita dengan dua daripada mereka diberkas pada hari Rabu berkenaan.

Kes pertama membabitkan warga India berusia 38 tahun yang diberkas cuba membawa masuk dadah jenis methamphetamine seberat 6.05 kg bernilai RM1.149 juta yang disorokkan di dalam kain sari dan bungkusan teh, katanya dalam sidang media di sini Selasa.

Beliau berkata dalam kes kedua suspek warga Afrika Selatan berusia 47 tahun ditahan selepas pemeriksaan kastam ke atas bagasi miliknya menemukan dadah jenis sama seberat 4.196 kg bernilai RM797,240.

Pada Isnin, JKDM menahan seorang wanita China berusia 25 tahun di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) selepas pihak berkuasa menemui dadah seberat 2.08 kg dengan nilai RM395,200 di dalam bagasinya, kata Chik Omar.

"Seorang lagi suspek warga India ditahan hari ini juga di LCCT apabila dadah seberat 3.04 kg bernilai RM577,600 ditemui di dalam ruangan khas bagasi milik lelaki berusia 31 tahun itu," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Chik Omar berkata seorang lelaki yang berasal dari Sabah ditahan ketika cuba mengambil bungkusan dari Yaman di kaunter kargo KLIA, yang didapati mengandungi daun khat seberat 56 kg bernilai RM2,800.

Daun khat merupakan sejenis daun atau dagangan yang dilarang pengimportan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 20 (5) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun dan maksimum tidak lebih lima tahun. - BERNAMA

Artikel Lain